Mirnawan harap pasukan dikekal sebagai pelapis negara untuk Piala Sultan Johor 2016. - Pix fail NSTP
Mirnawan harap pasukan dikekal sebagai pelapis negara untuk Piala Sultan Johor 2016. - Pix fail NSTP

Kuala Lumpur: Mirnawan Nawawi mengumumkan perletakan jawatan sebagai pengurus pasukan hoki remaja selepas skuad itu gagal melayakkan diri ke kejohanan Piala Remaja Dunia 2016.

Mirnawan berkata beliau bertanggungjawab ke atas kegagalan skuad remaja negara yang mengakhiri cabaran kejohanan hoki Piala Remaja Asia dengan menduduki tempat kelima selepas membelasah Bangladesh 8-0 semalam.

Malaysia terlepas peluang ke kejohanan itu selepas kalah kepada Korea Selatan 1-4 dalam penentuan penalti pada perlawanan suku akhir Piala Remaja Asia, Khamis lalu.

Katanya beliau sudah memaklumkan peletakan jawatannya itu kepada Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Logan Raj dan Penaung MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebaik sahaja kejohanan itu menutup tirainya semalam.

"Saya telah meletakkan jawatan saya sebagai pengurus pasukan Projek setelah gagal dalam misi melayakkan diri ke Piala Remaja Dunia 2016. Saya mengambil sepenuhnya tanggungjawab di atas kegagalan ini.

"Mereka (anggota tertinggi MHC) hormat dengan keputusan yang saya ambil. Keputusan ini juga adalah untuk memberi peluang kepada individu lain yang boleh membawa Malaysia ke Piala Remaja Dunia 2020," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Mirnawan berkata semua pihak yang terlibat dalam Projek Remaja 2016 dilihat tetap berjaya dalam membina satu pasukan yang mantap bagi menyediakan pemain pelapis untuk skuad senior.

"Kita mungkin gagal layak ke Piala Remaja Dunia tetapi kami tidak gagal dalam membina satu pasukan yang mantap dan melatih pemain-pemain yang hebat untuk pasukan kebangsaan pada masa hadapan.

"Harapan saya agar pasukan ini dikekalkan sebagai pasukan pelapis negara untuk Piala Sultan Johor 2016 dan Sukan SEA 2017. Saya mohon maaf kepada MHC, rakyat Malaysia terutamanya penyokong sukan hoki tempatan," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 1:19 PM