SUBAHAN (kiri) percaya dengan pilihan Walsh.
SUBAHAN (kiri) percaya dengan pilihan Walsh.
Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pelantikan Stephen Van Huizen selaku ketua jurulatih skuad hoki negara tepat malah ia proses untuk meningkatkan kualiti sukan itu dalam persiapan mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2018 di India.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan betapa Majlis Eksekutif MHC memberi sepenuh kepercayaan kepada Pengarah Teknikal, Terry Walsh dan Jawatankuasa Kejurulatihan MHC menilai latar belakang beberapa jurulatih berkelayakan untuk memegang jawatan selaku ketua jurulatih hoki negara.

“Sebelum ini kami pernah mengadakan simposium dengan menjemput beberapa jurulatih berkelayakan dan selepas membuat penilaian maka Walsh dan juga Jawatankuasa Kejurulatihan MHC merumuskan Stephen (Van Huizen) individu yang paling layak.

“Lim Chiow Chuan dilantik sebagai pembantu Van Huizen dan tugasnya bukan saja akan membantu ketua jurulatih sebaliknya akan mempelajari teknik kejurulatihan bagi jangka masa panjang.

“Tugas Walsh yang juga Pengarah Teknikal bukan saja memastikan skuad hoki negara berada dalam kelompok lapan terbaik dunia malah turut membantu meningkatkan lagi kualiti jurulatih tempatan supaya mampu mengetengahkan diri selaku jurulatih bertaraf dunia,” katanya selepas majlis perasmian Kejohanan Hoki Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor edisi kelima pada Oktober ini di Stadium Hoki Taman Daya.

Subahan juga menegaskan kontrak Van Huizen selama empat tahun iaitu dua campur dua dan optimis betapa beliau akan mengembalikan kecemerlangan sukan hoki negara dan berharap mampu membimbing skuad itu melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di India.

Katanya, salah satu sebab Van Huizen dilantik untuk membimbing skuad The Speedy Tigers adalah kerana beliau pernah bersama skuad itu selaku pengurus pasukan ketika saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium, Jun lalu dan sudah mengenali pemain skuad hoki negara.

Pelantikan Van Huizen diumumkan Pengarah Jawatankuasa Kejurulatihan MHC, Datuk Ow Soon Kooi bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), K Logan Raj dan Walsh di ibu pejabat MHC di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Dalam pada itu, Subahan juga berharap skuad hoki remaja di bawah bimbingan Arul Selvaraj mempamerkan aksi terbaik pada Kejohanan Piala Sultan Johor kerana ia menjadi medan terakhir sebelum bersaing pada Piala Remaja Asia di Kuantan dari 14 hingga 22 November ini.

“Saya mengingatkan kepada pemain hoki remaja saingan Piala Sultan Johor adalah medan terbaik untuk meningkatkan kualiti permainan sebelum bersaing pada Piala Remaja Asia yang menjadi tiket untuk layak ke Piala Dunia Remaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 7:50 AM