MIRNAWAN mohon maaf atas kegagalan layak ke Piala Dunia Remaja.
MIRNAWAN mohon maaf atas kegagalan layak ke Piala Dunia Remaja.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuantan: “Saya memikul sepenuhnya tanggungjawab atas kegagalan ini.”

Demikian kenyataan Mirnawan Nawawi yang mengambil keputusan meletak jawatan selaku pengurus skuad Projek 2016 kerana berasa bertanggungjawab di atas kegagalan memenuhi sasaran layak ke Piala Dunia Remaja tahun depan.

Jelas Mirnawan, hasratnya itu sudah disampaikan kepada Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif K Logan Raj serta Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF) yang juga bekas Presiden MHC Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Keputusan ini adalah untuk memberi peluang individu lain yang boleh membawa Malaysia ke Piala Dunia Remaja 2020,” katanya.

Jelas Mirnawan, beliau mengaku pengurusan Projek 2016 gagal untuk membantu pasukan layak ke Piala Dunia Remaja di India tahun depan.

“Tapi kami tidak gagal dalam membina pasukan mantap dan pemain hebat untuk pasukan kebangsaan pada masa depan.

“Harapan saya agar pasukan ini dikekalkan sebagai pasukan pelapis negara untuk Piala Sultan Johor 2016 dan Sukan SEA 2017.

“Saya juga memohon maaf kepada MHC, rakyat Malaysia, MSN (Majlis Sukan Negara) serta ISN (Institut Sukan Negara).

“Saya akan terus menyokong skuad hoki negara dalam kapasiti yang berlainan selepas ini,” katanya.

Mirnawan juga adalah pengurus skuad Projek 2013 yang meraih pencapaian gemilang muncul juara Piala Sultan Johor 2011, juara Piala Remaja Asia 2012 serta menamatkan saingan Piala Remaja Dunia 2013 di tempat keempat.

Turut mengambil keputusan meletak jawatan ialah Setiausaha Jawatankuasa Pertandingan Hashim Yusoff, namun difahamkan keputusannya itu tiada kaitan dengan kegagalan skuad negara.

Kesilapan dua minit terakhir ketika bertemu Korea pada suku akhir meranapkan impian skuad negara untuk meraih tiket ke Piala Dunia Remaja tahun depan pada kejohanan yang menawarkan tiga tiket ke saingan berprestij itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 9:58 AM