GAMBAR diedarkan polis Perancis menunjukkan wajah Salah yang asal dan ‘berambut’ serta berkaca mata.
GAMBAR diedarkan polis Perancis menunjukkan wajah Salah yang asal dan ‘berambut’ serta berkaca mata.
Agensi

Paris: Polis Perancis mengedarkan gambar terbaru satu-satunya lelaki penyerang di Paris minggu lalu yang masih hidup yang dipercayai menggunakan cermin mata serta rambut palsu untuk menyamar dirinya bukan saja untuk mengelak ditangkap, malah kerana takut diburu komander Negara Islam (IS).

Gambar terbaru Salah Abdeslam itu - yang menghilangkan diri sejak serangan minggu lalu - diedarkan bersama nama baru digunakannya, Yassine Baghli.

Seorang rakannya dikatakan memberitahu polis, Salah rasa terlalu bersalah atas kejadian itu, tetapi tidak berani menyerah diri kerana bimbang keluarganya menerima balasan IS.

Kepemimpinan IS juga dikatakan berang kerana dia gagal melaksanakan ‘tugasnya’ sebagai pengebom berani mati kelapan dalam serangan lewat Jumaat lalu itu.

Salah dipercayai pengganas yang dirakam CCTV menembak orang ramai di luar sebuah kafe pada malam berkenaan, tetapi tidak dilihat lagi selepas itu.

Tujuh penyerang lain - termasuk abangnya Brahim yang meletupkan dirinya - terbunuh selepas melancarkan serangan di Stade de France, kafe dan lokasi konsert, Bataclan.

Rakannya yang mendakwa menemui Salah di Molenbeek, Belgium, Selasa lalu, dipetik berkata, dia melarikan diri selepas tidak tahan melihat keadaan terlalu teruk.

Dia kini lelaki paling dikehendaki di Eropah susulan kematian orang didakwa dalang utama serangan lewat Jumaat lalu itu, Abdelhamid Abaaoud, terbunuh dalam pertempuran dengan polis Rabu lalu di sebuah apartmen di Saint-Denis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:20 AM