Paris: Penemuan pasport Syria dekat mayat seorang penyerang serangan di Paris menimbulkan kemungkinan penyerang terbabit memasuki Eropah dengan menyamar sebagai pelarian yang melarikan diri daripada perang saudara di negara itu.

AFP melaporkan Menteri Perlindungan Rakyat Greece, Nikos Toskas, berkata: “Kami mengesahkan pemegang pasport itu (penyerang) masuk melalui Pulau Leros, Greece, pada 3 Oktober yang menjadi laluan masuk pelarian ke Eropah.”

Daily Mail melaporkan lelaki itu dikenali sebagai Ahmed Almuhamed, 25.

Polis Perancis juga sudah mengenal pasti seorang daripada tujuh penyerang sebagai Omar Ismail Mostefai, 29, berdasarkan jari tangannya yang ditemui dalam dewan konsert Bataclan.

Omar dilahirkan di kawasan miskin pinggir Paris, Courcouronnes, mempunyai empat beradik lelaki dan dua beradik perempuan, ada rekod jenayah kecil tetapi tidak pernah dipenjarakan.

Pendakwa Raya Paris, Francois Molins, berkata dia menjadi perhatian polis pada 2010 sebagai radikal tetapi tidak dikaitkan dengan pengganas.

Berikutan itu, enam ahli keluarga Omar ditahan termasuk bapanya, abang dan adik ipar perempuan.

Sementara itu, sebuah kereta berwarna hitam yang digunakan penyerang terbabit yang melepaskan tembakan dalam restoran, ditemui di pinggir bandar Montreuil, timur Paris. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2015 @ 4:56 PM