Beirut: Serangan udara diketuai Amerika Syarikat (AS) di Syria sejak bulan lalu mengakibatkan kematian lebih 500 orang dengan kebanyakannya dipercayai pengganas Negara Islam (IS).

Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia berkata, empat serangan udara di telaga minyak di Jafra, Deir el-Zour, dilaksanakan lewat kelmarin.

Sebuah kumpulan aktivis tempatan juga mengesahkan serangan udara dilakukan terhadap kawasan dikuasai IS.

AS mengetuai serangan udara dengan menyasarkan telaga minyak di Syria yang turut menjadi sumber kewangan penting bagi militan berkenaan.

Malangnya, serangan seumpama itu turut membawa risiko kepada orang awam dan ini secara jangka panjang dibimbangi menyukarkan usaha menghapuskan IS.

Serangan terhadap industri minyak itu juga mengakibatkan harga bahan bakar berkenaan melonjak.

Pemantau itu berkata, sejak serangan dimulakan pada 23 September lalu 553 orang terbunuh, termasuk 32 orang awam, enam kanak-kanak dan lima wanita.

Menurut kumpulan itu, ia merekodkan kematian 464 anggota IS, namun mengakui mungkin lebih ramai terbunuh.

Katanya, 57 lagi pejuang Barisan Nusra turut terbunuh dalam serangan udara di wilayah utara Aleppo serta Idlib.

Kebanyakan pejuang IS terbunuh berhampiran atau di dalam Kobane yang kini menjadi sasaran serangan besar-besaran pejuang IS sejak pertengahan September lalu.-AP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:00 AM