ASTANA Budi memberi harapan baru kepada penghidap HIV.
ASTANA Budi memberi harapan baru kepada penghidap HIV.
SELAIN tazkirah harian, penghuni mengikuti kuliah mingguan yang disampaikan oleh pendakwah jemputan.
SELAIN tazkirah harian, penghuni mengikuti kuliah mingguan yang disampaikan oleh pendakwah jemputan.
SELAIN rawatan moden, penghuni turut menjalani rawatan secara Islamik.
SELAIN rawatan moden, penghuni turut menjalani rawatan secara Islamik.
DUA penghuni Astana Budi mengusahakan ternakan ayam kampung dan itik.
DUA penghuni Astana Budi mengusahakan ternakan ayam kampung dan itik.
Teks dan gambar Rodly Fadly


Stigma masyarakat terhadap penghidap virus kurang daya tahan penyakit (HIV) sukar dikikis walaupun pelbagai kempen dijalankan.

Masih ramai takut mendampingi mereka kerana bimbang dijangkiti menyebabkan golongan berkenaan kerap tersisih.

Masyarakat pula bukan saja tidak pernah bersimpati dengan penghidap HIV, malah melemparkan pelbagai cercaan dan penghinaan seperti melabel mereka sebagai sampah masyarakat dan golongan pembawa bala.

Lebih malang apabila ada ibu bapa tergamak membuang anak yang menghidap HIV dengan tidak mengaku zuriat dan melarang mereka pulang ke rumah.

Menyedari senario ini, bekas ahli akademik, pendakwah dan pengamal perubatan Islam Dr Jahid Sidek mengambil inisiatif mewujudkan Rumah Kebajikan dan Perlindungan Budi (Astana Budi) bagi memberi perlindungan, rawatan serta ruang kepada penghidap HIV untuk meneruskan kehidupan seperti orang lain.

“Sangat menyedihkan apabila masyarakat termasuk orang Islam hanya bijak menghukum, tapi tak pernah mengambil inisiatif membantu golongan ini.

“Sebagai seorang Islam, sudah menjadi tanggungjawab kita membantu mereka, bukan menghukum atau menghina.

“Apabila orang Islam sendiri menolak mereka, pada siapakah golongan ini hendak mengadu nasib?

“Akibatnya, ada penghidap HIV yang beragama Islam mendapat perlindungan di rumah kebajikan bukan Islam yang menerima mereka dengan tangan terbuka.

“Jika penganut agama lain boleh menerima golongan ini, malah menyediakan rumah perlindungan, mengapa kita sebagai orang Islam mahu menyisihkan penghidap HIV sedangkan membantu mereka adalah tuntutan fardu kifayah,” kata Dr Jahid yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Jahid.

Atas kesedaran itulah, selepas perbincangan dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Ustaz Jahid menubuhkan Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia pada Ogos 2009.

Di bawah naungan persatuan ini, beliau mewujudkan Astana Budi bagi membantu golongan yang tidak mendapat pembelaan ini.

Dana untuk menubuh dan menyelenggara rumah kebajikan ini disumbangkan Pusat Zakat Selangor melalui MAIS, selain sumbangan pihak tertentu dan orang ramai.

Asrama di Astana Budi mampu menampung 40 penghuni pada satu-satu masa. Setakat ini, sejak dibuka pada 2009, lebih kurang 200 orang sudah mendapat perlindungan dan rawatan di situ.

Kebanyakan penghidap HIV dirujuk kepada Astana Budi oleh pihak hospital, badan bukan kerajaan (NGO), Majlis Agama Islam dan anggota keluarga sendiri.

Penghidap HIV yang tinggal di situ juga tidak ditetapkan tempoh. Ada antaranya sudah tujuh tahun mendapatkan perlindungan, tetapi ada penghuni yang kembali sihat meninggalkan rumah itu untuk memulakan penghidupan baru.

“Astana Budi bukan hanya memberi perlindungan, malah merawat penghuni sama ada secara moden atau Islam. Paling penting penghuni diberi rawatan spiritual dalam usaha membawa mereka kembali ke jalan Allah SWT.

“Dari segi rawatan moden, kami menugaskan seorang jururawat untuk memeriksa kesihatan pesakit setiap hari dan memastikan mereka makan ubat ditetapkan. Apabila ada temu janji dengan doktor, kami membawa mereka ke hospital.

“Pada masa sama, kami turut merawat mereka dengan kaedah rawatan Islam dengan mewujudkan Pusat Rawatan Islam Al-Manarah yang juga terbuka untuk orang ramai.

“Memang benar, penghidap HIV sukar dipulihkan, tapi dengan rawatan yang sempurna, kita dapat mengawalnya daripada lebih parah dan mencegah mereka daripada menyebarkan pula virus itu kepada orang lain.

“Namun, perkara yang lebih penting di sini ialah kami ingin menyelamatkan mereka daripada terus hanyut dan sesat dalam dosa.

“Kebanyakan mereka bekas penagih dadah tegar atau terbabit dengan kegiatan seks songsang yang pastinya jauh tergelincir daripada landasan agama.

“Sesetengah orang berpendapat apa guna menghabiskan wang dan tenaga merawat pesakit yang akan mati, tapi pada saya, kalaupun mereka mati kami mahu pastikan mereka mati selepas bertaubat.

“Justeru, selain membuat rawatan terhadap penyakit yang dihidapi, Astana Budi menekankan rawatan untuk memulihkan jiwa mereka agar menjadi umat Islam yang taat. Kami isi roh mereka dengan ilmu agama melalui sesi kaunseling, kelas agama dan ceramah.

“Alhamdulillah, boleh dikatakan semua yang mendapat perlindungan di sini berjaya dipulihkan imannya. Ada yang dulunya datang dengan fahaman ‘free thinker’ iaitu tidak mempercayai kewujudan Yang Maha Esa, kini tidak lagi meninggalkan solat dan amalan wajib lain.

“Kalau dulu seumur hidup tak kenal tikar sembahyang, kini mereka mampu menunaikan solat lima waktu. Dulunya tak boleh mengaji, sekarang sudah khatam al-Quran. Paling penting mereka sudah bertaubat terhadap perbuatan keji yang pernah dilakukan sebelum ini,” kata Ustaz Jahid.

Selain Astana Budi, Pusat Rawatan Islam Al-Manarah turut beroperasi di premis sama. Ia dibuka kepada orang ramai yang ingin mendapatkan rawatan kaedah Islam untuk pelbagai jenis penyakit terutama membabitkan spiritual dan mistik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:04 AM