Oleh Datuk Mohd Ajib Ismail

Penularan penyakit HIV (Human Immunodeficiency Virus) berpunca daripada pelbagai faktor seperti penagihan dadah dan aktiviti seksual sama ada heteroseksual, homoseksual ataupun biseksual. Berdasarkan statistik terkini, bilangan kes HIV yang direkodkan berjumlah 128,638 semenjak 1986 hingga 2021. Daripada jumlah tersebut, 45,969 kes kematian akibat Aids (sindrom kurang daya tahan melawan penyakit) dicatatkan dalam negara.

Perubahan landskap penghidap HIV di Malaysia menunjukkan perubahan yang drastik sepanjang tempoh 20 tahun daripada penagih dadah yang menjadi penyumbang terbesar dalam statistik kepada homoseksual dan biseksual yang menjadi penyumbang utama dengan 63 peratus kes daripada jumlah keseluruhan kes pada 2021.

Ajaran Islam telah menetapkan pedoman yang jelas tentang suatu cara hidup yang menjamin kesejahteraan dan keselamatan insan di dunia dan akhirat. Sebarang perbuatan yang bercanggah dengan syariat adalah ditegah dan wajib dijauhkan kerana mendatangkan kesan mudarat pada hari kemudian. Kaedah Islam mengutamakan pendekatan pencegahan (al-wiqayah) berbanding merawat atau mengubati sebagaimana pepatah Arab yang bermaksud 'Mencegah itu lebih baik daripada mengubati'. Oleh itu, mengelakkan kemudaratan adalah lebih baik berbanding mengurangkan kemudaratan manakala usaha untuk menutup ruang kemaksiatan (sad al-zarai') sentiasa menjadi keutamaan.

Kaedah tersebut dapat dilihat melalui larangan mendekati perbuatan zina sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran Surah al-Isra' ayat 32 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."

Di dalam ayat al-Quran yang lain, Allah SWT menyifatkan perbuatan liwat sebagai amalan yang keji atau 'fahisyah' sebagaimana firmanNya dalam Surah al-A'raf ayat 80-81 bermaksud: "Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan keji yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas."

Semua perbuatan itu ditegah sejak awal kerana mendatangkan kemudaratkan dan memberikan kesan buruk kepada agama, nyawa, akal, keturunan, maruah dan harta yang menjadi perkara penting untuk dipelihara selari dengan prinsip maqasid syariah.

Bagaimanapun, ajaran Islam tidak pernah menyokong sebarang bentuk diskriminasi dan stigma terhadap sesiapa pun untuk mendapatkan bimbingan serta nasihat agar dapat meninggalkan perbuatan maksiat atau menerima sebarang bentuk rawatan.

Antara sifat rahmah Islam adalah sentiasa memberikan peluang kedua bagi golongan yang berhasrat memperbaiki diri selaras dengan tuntutan syariat. Firman Allah SWT dalam al-Quran Surah az-Zumar ayat 53 yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Selain pendekatan menutup ruang kemudaratan, ajaran Islam juga menekankan kepentingan untuk mempertimbangkan antara dua kemudaratan (akhaf al-dararayn) dalam kes tertentu. Oleh itu, usaha untuk menggalakkan lebih ramai golongan yang berisiko tampil melakukan pemeriksaan HIV, diberikan kesedaran dan pengetahuan serta rawatan bersesuaian tidaklah bercanggah dengan ajaran Islam dengan niat agar HIV tidak menular dalam kalangan masyarakat. Golongan terbabit perlu dibantu supaya berusaha untuk meninggalkan cara hidup yang bercanggah dengan tuntutan agama. Walaupun proses perubahan hanya dapat dilaksanakan secara berperingkat melalui tempoh masa tertentu, namun usaha itu mesti diberikan sokongan yang jitu daripada semua pihak.

Bagi golongan yang terjebak dalam perbuatan maksiat dan melakukan khilaf dalam perjuangannya mentaati syariat, mereka perlu disantuni dan dibimbing secara berterusan kerana setiap manusia berhak dipimpin ke arah kebaikan. Langkah paling utama bagi seseorang yang berhasrat memperbaiki kehidupannya adalah melalui amalan taubat. Taubat hendaklah dilakukan dengan niat untuk meninggalkan perbuatan yang menyalahi syariat serta melaksanakan perubahan kerana Allah SWT bukan kerana paksaan sesiapa. Selain itu, mereka yang berhasrat melakukan perubahan perlu mencari persekitaran yang baik sama ada rakan, aktiviti serta program yang boleh membantu mengekalkan perubahan agar tidak kembali terjebak dengan amalan maksiat.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran Surah at-Tahrim ayat 8 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'taubat nasuha' mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai pada hari Allah tidak akan menghinakan nabi dan orang yang beriman bersama-sama dengannya, cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan), mereka berkata (ketika orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): 'Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.'"

Dalam menyantuni lebih ramai masyarakat termasuk golongan rentan atau marginal seperti komuniti yang terlibat dalam isu sosial, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyediakan kemudahan 'Ilaj Home di Seputeh, Kuala Lumpur iaitu sebuah bangunan enam tingkat boleh memuatkan 100 orang penghuni yang bakal beroperasi sebagai pusat perlindungan dan kebajikan berlandaskan rawatan Islam untuk Orang Yang Hidup Dengan HIV/Aids (ODHA). Inisiatif itu menyerlahkan sifat rahmah dan ihsan kepada semua golongan masyarakat yang berhasrat memperbaiki kehidupan.

Pelan Nasional Mengakhiri Aids 2016-2030 yang dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bukan hanya menetapkan agenda untuk menyampaikan kesedaran dan menggalakkan golongan berisiko mendapatkan pemeriksaan dan perawatan semata-mata, tetapi juga menerapkan agenda menghapuskan kemudaratan melalui program bimbingan kerohanian agar dapat meninggalkan tingkah laku berisiko atau perlakuan yang menyalahi syariat terutama dalam kalangan orang Islam. Segala usaha yang dilakukan selaras dengan hasrat negara untuk mengakhiri Aids sebagai ancaman kesihatan awam yang dijayakan dengan mengambil kira panduan syariat.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 6:00 AM