TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (tengah) bersama Bakhtiar (berdiri empat dari kanan) bersama para sukarelawan selepas melancarkan sambutan Hari AIDS Sedunia di Kinta River Walk. FOTO Bernama
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (tengah) bersama Bakhtiar (berdiri empat dari kanan) bersama para sukarelawan selepas melancarkan sambutan Hari AIDS Sedunia di Kinta River Walk. FOTO Bernama
Faliq Lajim


HUBUNGAN seksual dikesan antara penyumbang terbesar kepada HIV di negara ini mengikut statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada 2018, sebanyak 57 peratus kes HIV baharu dilaporkan berikutan hubungan seks di antara lelaki yang melakukan hubungan sejenis serta 37 peratus daripada aktiviti heteroseksual (seks berlainan jantina).

Berbanding 2010, hanya 48 peratus kes direkodkan membabitkan hubungan seksual (40 peratus heteroseksual: lapan peratus hubungan sejenis di antara lelaki) dan 48 peratus lagi melalui suntikan jarum.

Presiden Majlis Aids Malaysia (MAC), Bakhtiar Talhah berkata, epidemik virus itu kini didorong oleh hubungan seksual di mana pada tahun lalu sebanyak 94 peratus kes HIV baharu dilaporkan disebabkan faktor itu.

“Berbanding 1990 dan awal 2000, wabak HIV di Malaysia didorong oleh penggunaan ubat suntikan. KKM dan juga MAC dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) kemudian memulakan program pertukaran jarum (NSEP) dan Terapi Gantian dengan methadone.

“Program ini diperluaskan kepada mereka yang mengambil dadah serta bekas pengguna bahan terbabit. Ia berikutan hanya mereka yang boleh mencapai kepada golongan sasar yang memerlukan perkhidmatan terbabit.

“Memang tidak dinafikan kedua-dua program dibuat ini mencatat kejayaan. Pada 2018, hanya tiga peratus jangkitan HIV baharu dilaporkan disebabkan suntikan dadah berbanding 61 peratus pada 1990,” katanya yang memaklumkan epidemik virus itu turut membabitkan golongan transgender dan pekerja seks.

Katanya, MAC dengan kerjasama KKM dan rakan kongsi beberapa organisasi kini memperkenalkan beberapa pendekatan yang berubah-ubah kepada golongan berisiko.

Baktiar berkata, ia termasuk memperkenalkan program Perkhidmatan HIV Terbeza untuk Populasi Tertumpu (DHSKP) pada Julai lalu dengan melakukan ujian selain menyediakan perlindungan kondom, kaunseling dan lain-lain.

“Masih tiada penawar bagi HIV. Namun, pematuhan rawatan antiretroviral dapat mengawal virus terbabit seterusnya menghalang ia dijangkiti melalui hubungan seksual.

“Kajian turut membuktikan apabila viral load (kandungan virus dalam badan) tidak dapat dikesan maka penghidap HIV tidak boleh membawa virus itu kepada orang lain.

“Oleh itu, matlamat utama ketika ini adalah membuat ujian serta memberi rawatan kepada golongan yang risiko tinggi untuk mendapat virus itu,” katanya yang turut mengakui tidak semua dapat mengakses kepada ujian, rawatan serta penjagaan HIV berikutan faktor termasuk logistik selain stigma dan diskriminasi masyarakat.

Sementara itu, aktivis HIV/AIDS, Mohamad Raffie Jaafar, 49 berkata, jumlah itu sememangnya meningkat dalam kalangan mereka yang mengamalkan seks sesama jenis.

Beliau berkata, kekurangan kesedaran terhadap HIV menjadi faktor utama kepada penularan virus terbabit selain terlalu percaya dengan pasangan yang baru kenal (pasangan seks).

“Kita nak halang untuk mereka melakukan perkara itu susah. Jadi, salah satu jalan adalah pergi ke golongan sasar ini untuk memberi kesedaran selain mengedarkan perlindungan termasuk kondom,” katanya yang sudah terbabit dengan aktivis itu hampir 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 6:45 AM