MAHALI
MAHALI
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pemain sayap kanan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mahali Jasuli mengidam mengekalkan rekod bersih sepanjang kempen Kumpulan B Piala Malaysia dengan tiga mata menjadi tumpuan ketika bertemu Sarawak, Sabtu ini.

Bagi Mahali pertembungan menentang skuad Bujang Senang di Stadium Larkin itu disifatkan amat penting untuk mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri selain menjadi satu-satunya pasukan tidak pernah tewas sepanjang kempen piala berprestij.

Katanya, Sarawak pasti akan turun habis-habisan untuk memastikan mereka meraih sekurang-kurangnya satu mata bagi memburu slot ke suku akhir.

Justeru, menurutnya, barisan pemain Johor DT perlu berwaspada dengan ancaman skuad kendalian David Usop itu.

“Mungkin ramai menganggap kami tidak perlu ‘bermandi peluh’ selepas sudah layak ke suku akhir untuk perlawanan menentang Sarawak tapi bagi saya, kami perlu memberi saingan hebat kerana mahukan kemenangan di laman sendiri.

“Walaupun beberapa pemain mengalami kecederaan seperti Gary Steven Robbat yang memerlukan masa panjang untuk pulih selain Luciano Figueroa, saya optimis jurulatih (Mario Gomez) akan menurunkan kesebelasan terbaik,” katanya.

Katanya, aksi menentang Sarawak ibarat pemanas badan sebelum berdepan FELDA United pada suku akhir pertama di Stadium Selayang, Selasa ini dengan setiap pemain tampak cukup bersemangat berdepan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim.

“Perlawanan menentang FELDA United sememangnya dinanti-nantikan kerana rekod pertemuan kedua-dua pasukan tampak seimbang.

“Bagaimanapun, pendekatan kami ketika ini adalah menumpukan satu demi satu perlawanan, bermula dengan Sarawak sebelum memikirkan FELDA United yang saya anggap pertemuan suku akhir ‘paling hangat’ musim ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 7:49 AM