Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Biarpun hanya Hariss Harun diturunkan selaku pemain import tunggal, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) masih mampu menjinakkan Perak 2-1 pada aksi Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh, kelmarin.

Johor DT turun tanpa kelibat dua lagi tenaga import Luciano Figueroa yang mengalami kecederaan dan Marcos Antonio diberi cuti untuk pulang ke Brazil, nyata masih ampuh untuk mencipta kemenangan.

Malah Hariss yang memainkan peranan penting posisi tengah dipilih pemain terbaik perlawanan itu susulan gandingan mantap bersama Jazsarin Jamaludin menghalang penguasaan skuad The Bos Gaurus.

“Pencapaian terbaik sepanjang kempen Piala Malaysia selepas kami mencatat lima kemenangan dan ia cukup membanggakan walaupun keletihan selepas baru pulang dari Tajikistan.

“Malah kami juga tidak menjalani latihan secukupnya sebelum perlawanan menentang Perak dan hanya berlatih selepas tiba di Ipoh sehari sebelum perlawanan.

“Saya akui aksi menentang Perak bukan mudah buat kami tapi berkat kesungguhan setiap pemain mengikut arahan taktikal jurulatih (Mario Gomez), tiga mata akhirnya dapat dibawa pulang,” kata pemain dari Singapura itu.

Hariss berkata semangat juang tinggi juga memainkan peranan merealisasikan buruan kemenangan kerana sedar Perak juga mahukan kemenangan untuk menghidupkan peluang layak ke suku akhir.

Menurutnya walaupun berstatus import namun dia tidak menganggap dirinya sebagai orang luar sebaliknya menyifatkan lebih sebagai pemain tempatan.

“Kami sudah layak ke suku akhir sebelum berdepan Perak dan aksi seterusnya menentang Sarawak pada 21 November ini. Kami juga tidak anggap perlawanan itu mudah sebaliknya tetap menghormati Sarawak yang pasti bertungkus lumus memburu satu lagi slot suku akhir.

“Jika musim lalu kami sekadar naib juara Piala Malaysia, musim ini kesemua pemain begitu membara mahu memburu kejuaraan pertama piala itu. Kami harap tidak lagi kecewa kali ini,” kata Hariss.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:11 AM