NAZRIN terkilan terlepas dua aksi Piala Malaysia ekoran kecederaan.
NAZRIN terkilan terlepas dua aksi Piala Malaysia ekoran kecederaan.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Selepas tidak beraksi dua perlawanan dalam saingan Piala Malaysia, Mohd Nazrin Nawi tampak sudah bersedia membuat penampilan pertama bersama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) apabila berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Larkin, malam esok.

Pertembungan pada saingan Kumpulan B itu penting kerana Johor DT bertekad mahu menjadi satu-satunya pasukan belum tewas ketika mengharungi aksi ketiga kempen berprestij itu.

“Agak melegakan kerana kecederaan paha kiri saya semakin pulih. Saya akan memberi komitmen 100 peratus jika tersenarai dalam skuad utama, tapi terserah kepada jurulatih (Mario Gomez) untuk menentukan kesebelasan utama.

“Memang terkilan tidak dapat beraksi sejak Piala Malaysia bermula dan ditambah pula beberapa perlawanan terpaksa ditunda akibat jerebu. Tapi, dari sudut lain, ia memberikan saya ruang untuk menyiapkan diri,” katanya.

Sambil tidak menafikan saingan Kumpulan B tampak kompetitif, Nazrin tetap optimis Johor DT mampu melepasi halangan bagi memburu slot ke suku akhir.

“Walaupun kami pernah tewaskan ATM, mereka tidak boleh dipandang rendah. Mereka pasti turun dengan corak permainan berbeza dan kami perlu berwaspada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 7:45 AM