HARRIS (tengah) tekad pamer aksi terbaik.
HARRIS (tengah) tekad pamer aksi terbaik.
Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Hariss Harun menganggap FELDA United agak liat ditewaskan dan pertembungan kedua-dua pasukan itu akan menjanjikan aksi menarik pada saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam ini.

Malah pemain import dari Singapura itu berazam untuk beraksi konsisten bagi memastikan tiga mata tidak terlepas tatkala kelebihan memihak Johor DT yang beraksi di laman sendiri selain mendapat sokongan padu dari penyokong Harimau Selatan.

Katanya, berdasarkan rekod pertembungan kedua-dua pasukan musim lalu tampak seimbang walaupun pernah menang 1-0 dalam saingan liga, 4 Mei lalu namun tewas 3-2 secara agregat pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia dan kedua-dua aksi itu di tempat sendiri.

“Memang agak sukar apabila menentang FELDA United kerana skuad itu dibarisi pemain berkualiti dan setiap kali kami bertembung pasti menjanjikan aksi menarik dan sentiasa menjanjikan corak permainan pantas.

“Ia pertembungan menarik malam ini ketika Johor DT hanya dipisahkan dua mata saja dengan FELDA United yang mengumpul sembilan mata dan jika kami menang, kami akan merampas tempat mereka.

“Malah moral pemain Johor DT tampak begitu tinggi selepas menang ke atas Terengganu, Sabtu lalu walaupun tidak dinafikan faktor kepenatan selepas mengharungi jadual padat pada saingan liga dan Piala AFC,” katanya.

Hariss menjelaskan tiga mata di laman sendiri amat penting untuk berada di landasan terbaik mengharungi kempen liga elit domestik dan perlu mengelak kehilangan mata terutama beraksi di tempat sendiri.

Dia juga optimis taktikal yang dirancang ketua jurulatih Mario Gomez mampu menjelmakan kekuatan Johor DT untuk membentuk kombinasi mantap dan keberkesanan merencana gerakan berbahaya apabila melakukan serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 8:22 AM