JOHOR DT tekad kekal rekod tanpa kalah di laman sendiri.
JOHOR DT tekad kekal rekod tanpa kalah di laman sendiri.
Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Walaupun sudah layak ke suku akhir Piala Malaysia Johor Darul Ta’zim (Johor DT) tetap mengidam tiga mata penuh pada aksi terakhir Kumpulan B berdepan Sarawak di Stadium Larkin, Sabtu ini.

Pengendali skuad Harimau Selatan Mario Gomez menyifatkan kemenangan ke atas skuad kendalian David Usop itu amat penting bukan saja bagi mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri, malah muncul satu-satunya pasukan mengekalkan rekod bersih sepanjang kempen piala berprestij.

Katanya, pertembungan menentang Sarawak bakal diharungi tanpa kelibat Luciano Figueroa kerana pemain itu masih menjalani rawatan selepas mengalami kecederaan pada final Piala AFC, 31 Oktober lalu.

“Saya tidak mahu mengambil risiko menurunkan Luciano ketika menentang Sarawak. Biar dia pulih sepenuhnya kerana khidmatnya amat diperlukan pada suku akhir nanti.

“Namun, saya juga belum memutuskan sama ada Luciano akan beraksi pada suku akhir pertama atau kedua kerana semuanya bergantung kepada tahap kecergasannya.

“Turut mengalami kecederaan Gary Steven Robbat, Mohd Fadlhi Shas, Junior Eldstal dan Asrarudin Putra Omar, tetapi hanya Gary yang perlu lebih masa untuk pulih manakala pemain lain tampak semakin cergas.

“Aksi menentang Sarawak penting kerana kami mahu mengekalkan rekod bersih di gelanggang sendiri. Saya sedar pasukan lawan juga pasti mahu sekurang-kurangnya satu mata daripada kami,” katanya kepada Arena Metro ketika ditemui pada sesi latihan di Padang Seri Gelam, semalam.

Katanya, pada pertembungan itu nanti, beberapa pemain yang bersama skuad kebangsaan kemungkinan direhatkan bagi memastikan mereka cukup bersedia untuk aksi suku akhir pertama.

Menurutnya, walaupun kehilangan beberapa tonggak utama yang kini bersama skuad kebangsaan, latihan tetap diteruskan untuk persiapan menentang Sarawak dengan beberapa pemain Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) turut menyertai mereka ketika latihan.

“Dari situ saya akan menilai sedalam-dalamnya beberapa pemain Johor DT II untuk diserapkan dalam skuad Johor DT. Tapi jumlahnya mungkin tidak ramai, hanya satu dua pemain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 8:39 AM