Khairy berkata keutamaan diberi kepada syarikat memanfaatkan sepenuhnya geran diberikan kementerian. - Pix NSTP/Saddam Yusoff
Khairy berkata keutamaan diberi kepada syarikat memanfaatkan sepenuhnya geran diberikan kementerian. - Pix NSTP/Saddam Yusoff

Kuala Lumpur: Teka-teki berhubung penganjur baharu kejohanan berbasikal berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) bagi edisi 2016 akan terjawab, esok.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata keutamaan diberi kepada syarikat yang memanfaatkan sepenuhnya geran antara RM10 juta dan RM12 juta yang bakal diberi kementerian bagi penganjuran kejohanan itu.

"Dulu kita keluarkan RM20 juta (untuk kos penganjuran LTdL) tapi saya mahu penganjur (baharu) buat yang lebih rendah daripada (kos) terdahulu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Seni Kebangsaan 2015 di sini hari ini.

Khairy berkata syarikat yang dipilih turut diwajibkan memiliki pengalaman mengendalikan kejohanan berbasikal bertaraf antarabangsa yang mendapat pengiktirafan Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selain mampu menarik lebih ramai penaja terutama sektor swasta untuk menaja kejohanan itu.

"Sebab kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk memberi dana, maka penganjur mesti mempunyai keupayaan untuk menarik penaja," kata menteri itu.

Khairy berkata pihaknya bersedia meneruskan pemberian geran tahunan untuk edisi LTdL seterusnya, namun menekankan penglibatan sektor swasta dalam penganjuran kejohanan berbasikal yang diadakan sejak 1996 itu.

Dalam perkembangan berasingan, Khairy yakin skuad Harimau Malaya mampu melakar keputusan positif berdepan Palestin pada aksi keenam kumpulan A pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan, esok.

Mengakui peluang skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu untuk mara ke pusingan seterusnya agak sukar, namun beliau mahu pemain negara memberi persembahan mantap.

"Saya harap mereka dapat keputusan yang baik sebab banyak tekanan yang diberi kepada pasukan kita tapi persiapan semua berjalan dengan baik. Kita bagi mereka peluang dan di mereka mendapat keputusan yang baik," kata Khairy.

Malaysia kini menduduki tangga keempat daripada lima pasukan dalam kumpulan A dengan kutipan empat mata menerusi satu kemenangan, satu keputusan seri dan tiga kekalahan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 5:43 PM