EMPAT syarikat disenarai pendek jadi penganjur LTdL 2016.
EMPAT syarikat disenarai pendek jadi penganjur LTdL 2016.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Penganjur perlumbaan berprestij di Asia Le Tour de Langkawi (LTdL) 2016 bakal diketahui hari ini, menurut Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Perlumbaan berstatus Hors Classe 2.0 yang bermula sejak 1996 antara perlumbaan utama dinantikan kebanyakan pasukan ternama dunia.

Namun sehingga kini penganjur edisi 2016 yang dijadualkan penghujung Februari hingga awal Mac tahun depan masih belum diumumkan secara rasmi.

Khairy bagaimanapun berkata, syarikat yang diberikan hak untuk menganjurkan perlumbaan berkenaan mesti berkebolehan mengendalikan kejohanan besar itu.

“Esok (hari ini) kita akan keluarkan kenyataan. Kita memerlukan penganjur yang dapat menganjurkan perlumbaan dengan peruntukan diberikan kementerian. Kita akan memberi geran tidak melebihi RM11 atau RM12 juta,” katanya semalam.

Tambahnya, penganjuran kejohanan berkenaan memerlukan pengalaman bagi melaksanakan perlumbaan berbentuk jelajah bertaraf antarabangsa.

“Saya suka penganjur yang bukan saja dapat menjaga dari aspek penganjuran malah dapat membawa kepercayaan (penajaan) pihak lain terutamanya swasta untuk turut melabur.

“Ini kerana mereka tidak boleh terus bergantung kepada geran disalurkan. Saya secara berperingkat cuba mengurangkan penggantungan kepada kerajaan,” jelasnya.

Empat syarikat termasuk penganjur edisi 2015 Human Human Voyage Sdn Bhd turut disenarai pendek.

Difahamkan antara yang melakukan bidaan adalah individu pernah terbabit secara langsung dengan penganjuran perlumbaan berprestij berkenaan selain bekas pelumba negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 10:11 AM