AKSI LTdL tahun lalu. -Foto fail
AKSI LTdL tahun lalu. -Foto fail
Jumiati Rosly


PERLUMBAAN jelajah berbasikal terulung di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 mungkin terpaksa ditangguhkan jika tarikh perlumbaan yang dijadualkan pada 16 hingga 25 Mac ini bertindih dengan tarikh Pilihanraya Umum (PRU) yang akan berlangsung bila-bila masa saja.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2018, M Kumaresan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memaklumkan kepada penganjur yang mereka tidak boleh membekalkan khidmat sokongan jika pilihan raya berlangsung pada tarikh yang sama.

“Kita sudah ambil mengambil kira kemungkinan terpaksa menunda perlumbaan jika polis tidak boleh membantu. Tetapi, setakat ini apa yang kita tengok perkara itu (pilihan raya) mungkin lambat lagi akan berlangsung,” katanya selepas Majlis Pelancaran Imej dan Pengumuman Laluan LTdL 2018 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Khidmat sokongan polis begitu penting bagi memastikan kelancaran perjalanan perlumbaan LTdL, untuk mengawal lalu lintas serta keselamatan perlumbaan, namun Kumaresan berkata, polis sudah memaklumkan kepadanya mereka terpaksa bertugas bagi pilihan raya jika parlimen dibubarkan ketika perlumbaan sedang berlangsung.

“Pada awalnya kita memilih tarikh pada 3 hingga 10 Mac, namun disebabkan kita lambat dapat pelantikan, jadi kita memerlukan lebih masa dan tidak mahu tergesa-gesa. Kita ubah sedikit tarikh, itu juga disebabkan kerana kita tambah dua lagi peringkat,”katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, adalah sukar baginya untuk menentukan tarikh yang bersesuaian.

“Pemilihan tarikh adalah satu perkara agak susah kerana kita tahu pilihan raya akan berlaku pada bila-bila masa, tetapi selepas Ciclista (Sports Sdn Bhd) meminta pandangan saya, saya katakan Mac ini mungkin selamat lagi.

“Ini disebabkan kita ada persidangan Dewan Rakyat pada awal bulan Mac, jadi kemungkinan (Parlimen) masih belum dibubarkan lagi. Itu andaian sayalah,” katanya.

Khairy berkata, persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung pada 5 Mac dan akan bersidang selama lebih dua minggu.

“Saya kata masih selamat (tarikh 16-25 Mac), kalau bubar pun masih belum kempen pilihan raya. Jadi kita hanya dapat buat andaian. Saya tak pasti, tetapi saya rasa Mac ini masih ok,” katanya.

KBS memberikan geran peruntukan sebanyak RM12 juta kepada Ciclista Sports Sdn Bhd yang dilantik sebagai penganjur perlumbaan tahun ini yang akan berlangsung di pantai Barat dan Timur Semenanjung Malaysia dengan jumlah jarak perlumbaan 1,537.2 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 6:40 PM