NAPOLI pamer aksi memukau selepas melakar kemenangan besar ke atas FC Midtjylland.
NAPOLI pamer aksi memukau selepas melakar kemenangan besar ke atas FC Midtjylland.
AP

Rome: Napoli muncul antara empat pasukan layak ke pusingan kalah mati Liga Europa selepas mengalahkan FC Midtjylland 5-0, awal pagi semalam.

Molde, Borussia Dortmund dan Rapid Vienna turut mengesahkan tempat walaupun masih berbaki dua perlawanan, tetapi Schalke terlepas peluang menyertai empat kelab berkenaan apabila sekadar seri 1-1 di Sparta Prague, sekali gus kekal di tangga kedua Kumpulan K.

Berikutan keputusan itu, Napoli muncul pendahulu Kumpulan D.

“Saya sudah berusaha keras dan perlu berterima kasih kepada pemain yang mengikut setiap arahan,” kata jurulatih Napoli Maurizio Sarri yang berpindah dari Empoli hujung musim lalu.

“Saya juga perlu berterima kasih kepada presiden. Beliau mempertahankan saya walaupun kami pernah menerima keputusan mengecewakan.”

Sementara itu, dalam perlawanan lain, Jordon Ibe menghasilkan gol tunggal ketika menjana kejayaan pertama Liverpool dalam kempen kali ini. Kelab Inggeris itu menang 1-0 di Rubin Kazan dan jurulatih Juergen Klopp mengecap kemenangan ketiga berturut-turut sejak mula mengambil alih jawatan ditinggalkan Brendan Rodgers.

Liverpool kekal di tangga kedua Kumpulan B, tetapi semakin hampir dengan pendahulu, Sion. Kelab itu sekadar seri 1-1 ketika menentang Bordeaux yang terlepas peluang layak ke pusingan kalah mati.

Midtjylland menang dua perlawanan awal, tetapi tewas 1-4 di laman sendiri ketika menentang Napoli dan mereka dilihat bakal sekali lagi menerima kekalahan besar apabila Omar El Kaddouri meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-13.

Lorenzo Insigne menjana gerakan untuk gol berkenaan dan turut memainkan peranan bagi jaringan kedua 10 minit kemudian yang disempurnakan Manolo Gabbiadini.

Gabbiadini menggandakan jaringan peribadinya pada minit ke-38 dan Christian Maggio meledak gol keempat selepas rehat sambil Jose Callejon menanduk masuk gol kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:07 AM