AFP

Liverpool, England: Pengurus Liverpool Juergen Klopp (gambar) tidak berpuas hati dengan benteng pertahanannya selepas menyaksikan mereka tumpas 2-3 di laman sendiri kepada Swansea sekali gus memberi kesan besar dalam usaha pasukan memburu kejuaraan Liga Perdana.

Pasukan yang bergelut di zon penyingkiran Swansea menjadi pasukan pelawat pertama membawa pulang tiga mata dalam perlawanan liga di Anfield sejak lebih setahun lalu dengan Fernando Llorente menyumbat dua gol sebelum Gylfi Sigurdsson meledak gol kemenangan 16 minit sebelum tamat.

Liverpool kembali berada dalam kedudukan terbaik dalam perlawanan itu buat seketika apabila dua gol jaringan Roberto Firmino membolehkan Reds memadam defisit 0-2.

Bagaimanapun Klopp, pengurus Liverpool dari Jerman berang dengan persembahan pemain pertahanannya yang menyebabkan mereka terlepas peluang untuk merapatkan jurang empat mata dengan pendahulu Chelsea.

“Kami sekali lagi membuktikan kami dalam kedudukan terbaik, memiliki pasukan yang kuat dan boleh mencipta peluang serta menjaringkan gol,” katanya.

“Bagaimanapun cara kami bertahan ketika melepaskan tiga gol itu 100 peratus tidak bagus. Ia bahagian paling penting dalam perlawanan dan ia amat mengecewakan.”

Klopp tanpa berselindung melahirkan rasa kecewa dengan cara pemainnya mengawal pergerakan Sigurdsson yang membuat hantaran untuk pemain memiliki ketinggian 1.93 meter Llorente menjaringkan gol untuk Swansea tanpa dicabar.

“Kami gagal menghalang bola sepakan percuma dan bagaimana Llorente boleh berseorangan dalam kotak penalti dan menjaringkan gol,” kata Klopp. “Ia sukar untuk terlepas pandang bukan?

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 10:30 AM