AKSI antara Napoli dan Rangers dalam perlawanan Liga Juara-Juara. FOTO AFP
AKSI antara Napoli dan Rangers dalam perlawanan Liga Juara-Juara. FOTO AFP
Reuters

Naples: Napoli mencatat kemenangan 3-0 ke atas Rangers dalam saingan Liga Juara-Juara pagi tadi untuk mencatat rekod baru kelab meraih kemenangan kali ke-12 berturut-turut dalam semua kejohanan.

Penyerang Argentina, Giovanni Simeone meledak dua gol pada separuh masa pertama untuk membolehkan Napoli menguasai saingan di Stadio Diego Maradona, manakala pertahanan Norway, Leo Ostigard mengukuhkan kedudukan hasil tandukan pada minit ke-80.

Keputusan itu menyaksikan pendahulu Serie A berkenaan melepasi kemenangan berturut-turut terpanjang sebelum ini sejak 1986, ketika memiliki pemain tersohor Argentina, Maradona.

Napoli, yang sudah layak ke peringkat kalah mati, mendahului Kumpulan A dengan 15 mata daripada lima perlawanan, tiga mata di depan Liverpool di tangga kedua.

Kedua-dua pasukan akan berentap minggu depan pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Napoli akan menduduki tempat teratas kumpulan jika mereka mengelak kekalahan tiga gol atau lebih di Anfield.

Rangers, yang sudah tersingkir, berada di kedudukan terbawah tanpa meraih sebarang mata dan akan terlepas ke Liga Europa melainkan mereka menewaskan Ajax Amsterdam.

Jurulatih Napoli Luciano Spalletti memuji pasukannya selepas meraih satu lagi kemenangan walaupun melakukan enam pertukaran ketika mereka menewaskan AS Roma 1-0 dalam perlawanan Serie A.

"Perkara yang luar biasa ialah apabila anda tidak menggunakan pemain sama untuk dua perlawanan, ia sepatutnya menjadi agak janggal dan kehilangan sedikit ketajaman tetapi kumpulan ini tidak melakukannya.

"Mereka berlatih seperti pemain terbaik dan mengesahkan mereka mahu berjuang untuk tempat mereka," katanya.

Spalletti berkata beliau menjangkakan perlawanan terakhir yang menarik menentang Liverpool walaupun kedua-dua pasukan sudah layak ke pusingan 16 terakhir.

"Ada banyak yang dipertaruhkan dalam perlawanan seterusnya, kerana Liverpool sangat sukar untuk ditewaskan di laman sendiri," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 11:41 AM