AKSI Salah menjaringkan gol pertama Liverpool. FOTO  EPA
AKSI Salah menjaringkan gol pertama Liverpool. FOTO EPA
Reuters

Liverpool, England: Jaringan lewat Mohamed Salah dan Darwin Nunez membantu Liverpool menewaskan Napoli 2-0 awal pagi tadi tetapi gagal memintas kelab Itali itu selaku pendahulu Kumpulan A Liga Juara-Juara.

Kedua-dua pasukan sudah mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati tetapi kedudukan sebagai juara kumpulan masih terbuka dengan Liverpool perlu menewaskan Napoli dengan empat gol atau lebih.

Aksi babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan lebih berhati-hati namun lebih sengit selepas rehat. Leo Ostigard menyangka berjaya meletakkan Napoli di depan namun tandukannya dibatalkan selepas VAR mendapati dia dalam kedudukan ofside.

Namun Salah memecah kebuntuan apabila meletakkan Liverpool di depan lima minit sebelum tamat permainan manakala Numez menambah gol kedua pada masa kecederaan.

Kemenangan 4-1 Napoli ke atas Liverpool dalam aksi permbukaan September lalu memberikan kelebihan kepada mereka yang menamatkan aksi kumpulan dengan 15 mata, terikat dengan The Reds namun berkelebihan dari segi jaringan.

"Inilah reaksi yang saya mahu lihat," kata jurulatih Liverpool, Juergen Klopp selepas kelabnya bergelut dalam saingan domestik.

"Kami tidak ragui kualiti kami. Saya tak fikir sesiapa meraguinya tetapi sebahagian daripada masalah kami ialah tidak konsisten.

"Ia permulaan terburuk dalam kumpulan ini ketika menentang Napoli. Mereka lebih berhak sebagai juara kumpulan."

Bagi Salah pula, ia jaringan ke-43nya dalam kempen Liga Juara-Juara dan hanya ketinggalan satu gol untuk menyamai rekod Didier Drogba sebagai penjaring terbanyak dari Afrika di kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 7:42 AM