Milan: Dua jaringan Felipe Anderson pada babak pertama sudah memadai bagi memastikan Lazio menduduki tangga ketiga Serie A menjelang rehat cuti Krismas apabila seri 2-2 dengan Inter Milan di gelanggang lawan.

Inter berjaya meraih kemenangan sulung di bawah kendalian Roberto Mancini, kejayaan pertama dalam enam perlawanan minggu lalu, namun berdepan permulaan buruk di San Siro apabila Anderson meledak gol pembukaan selepas hanya dua minit.

Pemain Brazil itu hampir menjaringkan gol kedua apabila melepasi perangkap ofsaid namun menebusnya sebelum berakhir separuh masa pertama selepas merampas bola di bahagian tengah dan menewaskan Samir Handanovic.

Keputusan seri menyebabkan Inter menghuni tangga ke-11, ketinggalan 18 mata di belakang pendahulu Juventus, empat mata ketinggalan kepada seteru setempat AC Milan dan enam mata ditinggalkan Lazio pada kedudukan ketiga yang juga tiket kelayakan terakhir ke Liga Juara-Juara.

Namun Mancini memberi amaran beliau menjangkakan peningkatan dipamerkan Inter apabila saingan bersambung.

“Kami tidak boleh menjadi seperti Barcelona atau Bayern dalam tempoh sebulan. Kami menghadapi beberapa kesukaran dan perlu mengatasinya,” kata Mancini.

Terdahulu penyerang Itali, Manolo Gabbiadini yang mengesahkan untuk meninggalkan Sampdoria pada jendela perpindahan Januari sebelum turun beraksi, berjaya melakukan tandukan pada lewat perlawanan untuk memastikan mereka berkongsi mata apabila terikat 2-2 menentang Udinese di laman sendiri.

Gabbiadini dikaitkan dengan perpindahan ke Napoli dan selepas perlawanan pemain berusia 23 tahun itu berkata: “Saya tidak pasti ini jaringan terakhir saya bersama Sampdoria.” -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 7:23 AM