Kuala Lumpur: Hanya Zulfadli Zulkiffli (gambar) yang berjaya meneruskan perjuangan di Grand Prix (GP) Emas Terbuka Korea Selatan ketika kesemua wakil negara tumpas pusingan pertama dan kedua semalam.

Zulfadli mara ke pusingan ketiga selepas menewaskan pemain Jepun Riichi Takeshita 21-15, 21-10 pada pusingan kedua dan akan bertemu wakil tuan rumah, Lee Dong Keun hari ini.

Sebelum itu pemain pilihan kesembilan itu memenangi perlawanan pusingan pertama dengan menewaskan seorang lagi pemain tuan rumah, Shin Kyung Deok 21-4, 21-5.

Ketika Zulfadli menyerlah, seorang demi seorang pemain negara tumbang termasuk perseorangan lelaki, Soo Teck Zhi yang tewas kepada pemain Indonesia Muhammad Bayu Pangisthu 7-21, 16-21.

Juara Cabaran Antarabangsa Switzerland Iskandar Zulkarnain Zainuddin pula tumpas kepada pemain Jepun Yoseo Yamaguchi, 21-8, 19-21, 16-21.

Goh Soon Huat turut tewas kepada pilihan ke-12 dari Poland Adrian Dziolko 20-22, 19-21.

Nasib sama turut dialami beregu lelaki apabila pasangan Chooi Kah Ming-Ow Yao Han kalah 11-21, 16-21 kepada pilihan keempat dari China Li Junhui-Liu Yuchen, manakala Low Juan Shen-Ong Yew Sin tunduk di tangan Huang Kaixiang-Wang Sijie (China) 17-21, 17-21.

Hasrat untuk melihat perseorangan wanita negara, Lim Chiew Sien, Ho Yen Mei dan Lim Yin Fun membuat kejutan tidak kesampaian apabila masing-masing kecundang kepada wakil tuan rumah.

Chiew Sien kalah 14-21, 19-21 kepada Kim Hyang Im, manakala Yen Mei tumpas 16-21, 11-21 di tangan Kim Ga Eun. Yin Fun pula tumbang kepada Koh Eun Byeol 19-21, 16-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 8:48 AM