PERSEORANGAN wanita negara, Ho Yen Mei. FOTO Owee Ah Chun
PERSEORANGAN wanita negara, Ho Yen Mei. FOTO Owee Ah Chun
Ferzalfie Fauzi


PERSEORANGAN wanita negara, Ho Yen Mei melakar kejutan apabila menyingkirkan pilihan utama, Evgeniya Kosetskaya pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Russia. hari ini.

Yen Mei yang menduduki ranking 157 dunia, mengambil masa 28 minit untuk mencatat kemenangan straight set ke atas pemain tuan rumah yang menghuni ranking ke-27 dunia itu 21-11, 21-14 di Dewan Sukan Olimpik, Vladivostok. 

Menanti pemain berusia 22 tahun itu di pusingan kedua ialah Lianne Tan dari Belgium yang sebelum itu mengalahkan Crystal Pan dari Amerika Syarikat 23-21, 21-17. 

Menurut ketua jurulatih negara, Datuk Tey Seu Bock, ia satu permulaan yang bagus buat Yen Mei selepas bergelut dengan masalah kecederaan beberapa bulan sebelum ini. 

"Ini kejohanan pertamanya selepas empat bulan dan apa yang dipamerkan hari ini sangat bagus. Saya harap dia mampu mengekalkan momentum ini," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Mengikut jejak langkah Yen Mei ialah Lee Ying Ying yang juga pilihan kedua yang menumpaskan seorang lagi wakil tuan rumah, Anastasiia Pustinskaia 21-4, 21-11 dan dia bakal berdepan Rituparna Das dari India di pusingan kedua. 

Sementara itu, M Thinaah terpaksa berhempas-pulas sebelum mencatat kemenangan straight set ke atas Park San Eun dari Korea Selatan 26-24, 24-22 dan lawannya di pusingan kedua ialah pilihan keempat dari Jerman, Yvonne Li. 

Hasrat Lim Yin Fun untuk mengikut jejak rakannya tidak kesampaian apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Agrey Mugdha dari India selepas kalah 16-21, 19-21. 

Bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), R Satheishtharan menjadi wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki selepas mara ke pusingan ketiga mengalahkan wakil tuan rumah, Dmitrii Riabov 21-9, 16-21, 24-22 namun dia bakal berdepan halangan sukar esok apabila berdepan pilihan utama dari Sepanyol, Pablo Abian. 

Beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei pula berjaya mara ke pusingan kedua selepas menumpaskan pasangan tuan rumah, Rodion Kargaev-Viktoriia Vorobeva 16-21, 21-12, 21-11.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 8:38 PM