CHONG Wei mahu rehat selepas  kecundang di pusingan kelayakan.
CHONG Wei mahu rehat selepas kecundang di pusingan kelayakan.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Penat, hilang fokus mungkin antara penyebab utama Datuk Lee Chong Wei (gambar) tersungkur awal di Siri Super Terbuka Korea Selatan 2015 apabila tumpas kepada pemain muda tuan rumah, Heo Kwang Hee di pusingan kelayakan semalam.

Dalam akaun Facebook miliknya, bekas pemain nombor satu dunia itu mengeluarkan kenyataan dia memerlukan rehat selepas dimalukan Kwang Hee apabila kalah straight set 19-21, 19-21.

Chong Wei terpaksa beraksi di pusingan kelayakan apabila kedudukan ranking merosot akibat penggantungan dan sebelum ini di Terbuka Jepun, dia juga berdepan laluan sama namun terkandas di pusingan kedua apabila tumpas di tangan Lin Dan dari China.

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen mengakui semalam bukan hari terbaik buat Chong Wei selepas gagal mengulangi pencapaian 2010, 2012 dan 2013 yang menyaksikan dia muncul juara kejohanan berkenaan.

“Kita juga perlu akui pemain muda Korea Selatan itu beraksi baik. Saya rasa banyak perkara yang bermain di fikirannya (Chong Wei). Saya lihat dia juga seperti hilang keyakinan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, apabila pulang ke tanah air selepas ini mereka akan cuba menyelesaikan masalah dihadapi jaguh badminton negara itu yang sebelum ini terkandas di pusingan kedua Terbuka Jepun selepas tumpas di tangan musuh tradisi, Lin Dan (China).

Dalam pada itu, pemain perseorangan bebas Zulfadli Zulkiffli mara ke undian utama apabila memenangi kedua-dua perlawanan kelayakan dengan menumpaskan wakil Amerika Syarikat, Sattawat Pongnairat 21-10, 21-8 dan Kazumasa Sakai (Jepun) 13-21, 21-8, 21-17.

Zulfadli akan bertemu Tommy Sugiarto dari Indonesia di pusingan pertama hari ini. Turut beraksi beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang menentang Jun Bong Chan-Kim Dae Eun (Korea Selatan), manakala bekas pasangan BAM, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong berdepan Marcus Ellis-Chris Langridge (England).

Beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Tan Aik Quan-Lai Pei Jing juga gagal ke pusingan kedua selepas kalah kepada lawan masing-masing semalam.

Peng Soon-Liu Ying kalah kepada pasangan China yang juga pilihan keenam Lu Kai-Huang Yaqiong 21-18, 12-21, 15-21, manakala Aik Quan-Pei Jing tewas di tangan pasangan Belanda, Jacco Arends-Selena Piek 21-14, 17-21, 17-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 5:23 AM