Kuala Lumpur: Harapan memang tidak diletakkan buat wakil pemain perseorangan wanita negara pada Grand Prix (GP) Emas Terbuka Korea Selatan menjelang pusingan pertama hari ini namun jurulatih, Wong Tat Meng tetap mengharapkan sesuatu daripada anak buahnya.

Menurut Tat Meng, anak buahnya kurang bernasib baik apabila diundi bertemu wakil tuan rumah untuk perlawanan pusingan pertama hari ini namun beliau berharap ketiga-tiga pemain Lim Chiew Sien, Ho Yen Mei dan Lim Yin Fun (gambar) beraksi dengan tenang di gelanggang.

“Saya berharap mereka mampu menenangkan diri ketika beraksi walaupun bakal berdepan apa saja situasi. Saya memang tidak menjangkakan mereka menempuh perlawanan mudah,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Chiew Sien akan memulakan aksi bertemu pemain pusingan kelayakan, Kim Hyan Im manakala Yen Mei berdepan Kim Ga Eun. Yin Fun bakal diuji Koh Eun Byeol.

Tat Meng yang pernah berkhidmat di Indonesia berkata, anak buahnya harus mempersiapkan diri untuk mengharungi perlawanan sukar itu termasuk dari segi mental.

“Mereka sudah berlatih tanpa sebarang kecederaan dan apa yang saya mahu ialah berikan aksi seperti mana ketika di dalam latihan sebelum ini. Saya mahu mereka tunjukkan semangat melawan tinggi dan sentiasa fokus untuk setiap pungutan mata,” katanya.

Ditanya sama ada anak buahnya mampu melakar kejutan ataupun setidak-tidaknya mengheret perlawanan hingga ke rubber set, Tat Meng berkata, apa saja boleh berlaku dan percaya dengan kemampuan anak buahnya.

Turut beraksi hari ini perseorangan lelaki Soo Teck Zhi yang bertemu pemain tuan rumah, Han Ki Hoon manakala pilihan kesembilan, Zulfadli Zulkiffli akan berdepan wakil dari negara sama, Shin Kyung Deok.

Juara Cabaran Antarabangsa Switzerland, Iskandar Zulkarnain Zainuddin akan menentang Lee Hong Jee dari Korea Selatan dan Goh Soon Huat bertemu pemain Poland, Adrian Dziolko.

Beregu lelaki menyaksikan pasangan Low Juan Shen-Ong Sin Yew menentang wakil China, Huang Kaixiang-Wang Sijie, manakala Chooi Kah Ming-Ow Yao Han berdepan pilihan keempat Li Junhui-Liu Yuchen (China).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 8:03 AM