AHMAD Dzaffir ketika sidang media hari ini. FOTO Ahmad Hasbi
AHMAD Dzaffir ketika sidang media hari ini. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi


Seremban: Tiga lelaki warga Amerika Selatan dikesan memecah masuk rumah dengan mensasarkan perumahan mewah dan elit di sekitar daerah ini serta Lembah Klang sebelum melarikan wang tunai dan barang berharga.

Dalam kejadian terbaru di Taman Lavender Heights, di sini, 22 Jun lalu, pemilik rumah mengalami kerugian kira-kira RM500,000.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, bagaimanapun, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 66 tahun mengenai kejadian pecah rumahnya yang dipercayai berlaku dari 7.10 hingga 9 malam ketika tiada orang di rumah berkenaan.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati suspek masuk melalui tingkap bilik tidur di bahagian tingkat bawah dan mengambil wang tunai serta barang berharga. Anggaran kerugian sebanyak RM500,000

"Pada 24 Jun lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seremban menahan tiga suspek lelaki berusia dari 33 hingga 41 tahun itu dalam serbuan berasingan di sekitar Seremban dan Cheras, Kuala Lumpur menerusi Op Pintu," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, pasukan serbuan berjaya menemui dan merampas pelbagai barang kes yang dipercayai ada kaitan dengan kes berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendedahkan semua suspek masuk ke Malaysia pada awal Jun lalu dan menyasarkan rumah di kawasan mewah serta elit.

"Setakat ini siasatan mendapati semua suspek mempunyai pasport negara dari Amerika Latin, bagaimanapun pengesahan masih dibuat.

"Dengan tangkapan tiga suspek itu, polis percaya dapat menyelesaikan kira-kira 10 kes pecah rumah di sekitar kawasan Seremban dan Lembah Klang," katanya.

Katanya, semua suspek direman selama enam hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Mana-mana individu yang ternampak atau mempunyai maklumat berkenaan kumpulan pecah rumah ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Saufi Malik di talian 01120625464," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 4:42 PM