FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Polis menahan dua individu yang disyaki terbabit kes pecah cermin kenderaan dan curi, pada awal bulan ini.

Lelaki tempatan berusia 47 tahun dan wanita warga asing berusia 30 tahun itu dipercayai aktif melakukan jenayah terbabit di sekitar Lembah Klang, susulan penemuan pelbagai barangan berharga termasuk barang kemas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pada mulanya polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada 12.30 tengah malam, 2 April lalu.

Beliau berkata, pengadu mendakwa cermin bahagian penumpang belakang kenderaan yang diparkir di tempat letak kenderaan awam Sungai Way di sini, dipecahkan dan dua komputer riba serta sebuah tablet miliknya hilang.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membuat serbuan di kawasan Jinjang, Kuala Lumpur pada jam 11 malam, 8 April lalu.

"Dua suspek yang disyaki terbabit kes itu berjaya ditahan. Hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada serbuan di sebuah kediaman di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

"Pemeriksaan menemui pelbagai barangan termasuk mata wang asing, barang kemas, barangan elektronik, jam tangan pelbagai jenama, beg tangan pelbagai jenama, resit pembelian barang kemas dan pemacu pena," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, semakan juga mendapati suspek lelaki mempunyai 15 rekod jenayah lampau termasuk dadah manakala suspek wanita tiada rekod lampau.

Mohamad Fakhrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek masih dalam tahanan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (Poca).

Katanya, dengan penahanan kedua-dua suspek itu polis berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah cermin kereta dan curi di sekitar kawasan Petaling Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 2:04 PM