CARTER memperagakan trofi  bersama ahli keluarga.
CARTER memperagakan trofi bersama ahli keluarga.
AFP

Twickenham, England: Dan Carter (gambar) menamatkan aksi terakhirnya sebagai raja ragbi kelmarin selepas memacu All Blacks menjulang kemenangan bersejarah Ragbi Piala Dunia 34-17 ke atas Australia di Twickenham.

Carter meraih 19 mata pada perlawanan terakhirnya ketika New Zealand mengekang kemaraan Australia untuk menjadi pasukan pertama mempertahankan gelaran Piala Dunia dan yang pertama memenangi tiga gelaran.

Wallabies merapatkan jurang dengan All Blacks kepada tiga mata pada separuh masa kedua, namun Carter mengemudi pasukannya dengan melakukan drop goal dan sepakan penalti untuk memastikan kejuaraan.

Menerusi tiga try, dua conversion dan tiga lagi penalti Carter memastikan All Blacks mempamer aksi hebat, hanya dicemari Ben Smith yang menjadi pemain pertama dilayangkan kad pada perlawanan akhir.

Richie McCaw menjulang Piala Webb Ellis di depan 80,125 penonton buat kali kedua dalam tempoh empat tahun selepas aksi ragbi bertenaga selama 80 minit.

“Kami bermain ragbi dengan baik di sini,” kata McCaw.

“Kami kehilangan momentum pada separuh masa kedua tapi berjaya mengawal perlawanan. Kami mempamerkan aksi hebat yang menjadi intipati pasukan ini sejak empat tahun lalu.”

Carter, yang mengesahkan perlawanan itu adalah penampilan Test ke-112 dan juga terakhirnya, melebarkan pungutan mata yang mencatat rekod dunia kepada 1,598.

“Kami cuba lakukan perkara yang tidak dilakukan pasukan lain,” kata Carter.

“Sungguh istimewa menjadi sebahagian daripada pasukan hebat ini.”

Ia Ragbi Piala Dunia keempat buat Carter, tetapi juga yang terakhir. Dia terlepas peluang aksi final 2011 akibat kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 5:06 AM