MCCAW (kiri) mengetuai barisan All Blacks menewaskan Australia.
MCCAW (kiri) mengetuai barisan All Blacks menewaskan Australia.

Wellington: Legenda All Blacks tampil memberikan penghormatan masing-masing kepada pemain skuad New Zealand dan menganggap penguasaan sejak empat tahun lalu menjadikan mereka sukar ditundukkan pasukan lain.

Bekas kapten All Blacks Anton Oliver berkata, kejayaan mengalahkan Australia sekali gus merangkul gelaran dunia buat kali kedua berturut-turut adalah pencapaian paling diingati skuad yang diketuai Richie McCaw itu.

Oliver berkata, beliau tidak berminat untuk membandingkan pasukan ketika ini dengan skuad yang pernah diwakilinya dulu tetapi kemenangan 34-17 di Twickenham adalah bukti yang mengatakan mereka pasukan terlalu gagah untuk ditumbangkan.

“Tidak syak lagi, sejak 12 tahun lalu, kami tidak boleh ditewaskan terutamanya empat tahun lalu jika kita mahu menganggap pasukan sekarang adalah yang terbaik,” katanya semalam.

“(Sejak Piala Dunia 2011) terdapat 54 Test yang mana kami hanya tewas tiga dan seri dua kali. Bagi saya, ia catatan yang hebat. Justeru, saya boleh menganggap catatan itu sebagai sesuatu yang sangat luar biasa.”

Pemain halfback yang mewakili negaranya dalam 81 Test yang kini bertugas sebagai pengulas sukan, Justin Marshall berkata, beliau turut menolak sebarang perbandingan tetapi kejayaan pasukan ketika ini membuatkannya kagum.

“Secara statistik, rekod mereka memang hebat. Apatah lagi kejayaan merangkul Piala Dunia secara berturut-turut,” katanya. “Ia catatan selama lapan tahun yang sukar untuk diatasi.

“Kejayaan yang mereka kecapi sangat hebat. Mereka ada legenda yang pernah mengharungi lebih 100 Test dan McCaw pula bermain pada perlawanan Test yang jauh lebih banyak berbanding mana-mana pemain.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 7:57 AM