CHONG Wei akan sertai Terbuka China, Jepun dan Macau selepas ini.
CHONG Wei akan sertai Terbuka China, Jepun dan Macau selepas ini.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei akhirnya kembali meletakkan namanya dalam kelompok 10 terbaik dunia menerusi senarai ranking terbaru dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam.

Menariknya, kedudukan itu dicapai hanya dalam tempoh kira-kira enam bulan selepas dia kembali beraksi pada Mei lalu selepas memenuhi hukuman penggantungan lapan bulan akibat kegagalan ujian doping.

Ketika itu, Chong Wei berada di ranking ke-180 dunia sebelum terus memperbaiki kedudukannya dengan beberapa kejayaan termasuk terbaru memenangi saingan berstatus Super Siri di Terbuka Perancis Ahad lalu.

Mengaku gembira dengan pencapaiannya itu, Chong Wei yang juga bekas pemain nombor satu dunia pantas meletakkan sasaran terbaru - untuk berada dalam kedudukan lapan terbaik dunia.

“Sememangnya ini berita baik tapi saya tidak mahu terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan ini.

“Bagi saya, sasaran seterusnya untuk cuba berada dalam ranking lapan terbaik dunia kerana di Sukan Olimpik 2016 hanya ada lapan slot untuk pemain pilihan.

“Saya perlu pastikan kena bebas daripada sebarang kecederaan supaya dapat memberikan persembahan terbaik pada saingan seterusnya,” katanya.

Kejohanan yang bakal disertainya selepas ini adalah Terbuka China, Jepun dan Macau.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berharap semangat tinggi dipamerkan Chong Wei untuk bangkit semula perlu dicontohi barisan pemain muda negara.

“Dia seorang pemain yang sentiasa fokus serta berdisiplin dan sanggup beraksi di mana-mana saja untuk memperbaiki kedudukan rankingnya.

“Saya sentiasa yakin dia mampu bangkit semula. Kegagalan di Terbuka Denmark, Jepun dan Korea bersifat sementara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 8:04 AM