Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen percaya Datuk Lee Chong Wei mampu memperbaiki rankingnya untuk berada dalam kelompok lima terbaik menjelang akhir tahun ini.

Meskipun bekas pemain nombor satu dunia itu mensasarkan berada dalam kelompok lapan pemain terbaik dunia selepas menduduki ranking ke-10 ketika ini, Frost sedar Chong Wei mempunyai kemampuan untuk menduduki ranking lebih baik berbanding kelompok lapan terbaik.

“Ya, saya sentiasa meletakkan kepercayaan tinggi ke atas Chong Wei. Dia ada peluang untuk menduduki ranking lima terbaik menjelang hujung tahun ini.

“Tapi segala-galanya bergantung juga kepada prestasinya di Terbuka China, Hong Kong dan Macau,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terbuka China akan berlangsung pada 10 hingga 15 November diikuti Terbuka Hong Kong pada 17 hingga 22 November.

Grand Prix Emas Terbuka Macau pula akan berlangsung pada 24 hingga 29 November.

Sementara itu, Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, sasaran sebenar untuk Chong Wei adalah berada di ranking empat terbaik dunia sebelum bermulanya Sukan Olimpik Rio pada tahun depan.

“Jika mampu dicapai, Chong Wei akan memperoleh undian yang lebih selesa di Sukan Olimpik sekali gus memudahkannya untuk melangkah ke pentas final,” katanya.

Menerusi senarai ranking terbaru dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kelmarin, Chong Wei kini menduduki ranking ke-10.

Kedudukan itu dicapai hanya kira-kira enam bulan selepas dia kembali beraksi pada Mei lalu selepas memenuhi hukuman penggantungan lapan bulan akibat kegagalan ujian doping.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 4:59 AM