Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengakui impian Chong Wei Feng untuk layak ke Sukan Olimpik Rio 2016 tampak semakin sukar.

Bukan mahu menidakkan peluang pemain berusia 28 tahun itu, namun Norza berpendapat dengan ranking semasa Wei Feng di kedudukan ke-33, mungkin usahanya untuk melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu agak berliku.

“Walaupun hakikatnya peluang Wei Feng (untuk layak) agak sukar, saya harap dia tidak berputus asa untuk terus mencuba.

“Pemain-pemain seperti Wei Feng dan Liew Daren perlu bangkit semula. Saya rasa mereka ada kira-kira lapan bulan lagi untuk cuba layak ke Sukan Olimpik.

“Saya yakin (Datuk) Lee Chong Wei akan layak, tetapi yang lain perlu bekerja keras,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kejohanan persahabatan gimnastik 2015 dan Piala AGG DRB Hicom semalam.

Pemain perseorangan negara itu bergelut dengan prestasinya sejak kebelakangan ini termasuk tersingkir seawal pusingan pertama di Grand Prix (GP) Emas Terbuka Thailand sekali gus menyaksikannya gagal untuk memperbaiki ranking.

Hanya dua pemain perseorangan bagi satu-satu negara dibenarkan beraksi di Sukan Olimpik sekiranya kedua-dua pemain itu berada dalam ranking 16 terbaik sebelum tarikh tutup kelayakan tamat pada 1 Mei tahun depan.

Jika di luar ranking itu, maka hanya seorang saja yang layak untuk beraksi di Sukan Olimpik.

Ketika ini, Datuk Lee Chong Wei yang menduduki ranking ke-24, dilihat satu-satunya calon terbaik untuk beraksi di Sukan Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:03 AM