Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan negara Liew Daren (gambar) sedia meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sekiranya gagal layak beraksi di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Tegas Daren, dia sendiri mensasarkan untuk tempoh setahun lagi bersama skuad kebangsaan bagi meningkatkan prestasinya dan jika gagal, pemain berusia 27 tahun itu sedia meninggalkan badan induk itu.

Meskipun ia dilihat cukup sukar, mengambil kira rankingnya ketika ini iaitu di kedudukan 76 dunia, Daren tetap mahu mencuba layak ke Olimpik.

“Dalam skuad kebangsaan mungkin untuk tempoh setahun lagi. Kalau tak layak beraksi di Sukan Olimpik, saya akan tinggalkan BAM dan mungkin selepas itu bermain dengan kelab.

“Inilah peluang terakhir untuk saya beraksi di Sukan Olimpik,” katanya.

Bagi memenuhi impiannya itu, Daren berkata, dia perlu menyertai sebanyak mungkin kejohanan untuk mengutip mata bagi memperbaiki rankingnya.

“Tahun ini ranking saya jatuh kerana tidak menyertai banyak kejohanan. Harap selepas ini saya dapat memperbaiki kedudukan ranking dan cuba untuk layak ke Sukan Olimpik.

“Kalau prestasi baik, saya rasa sempat untuk memperbaiki ranking dan berpeluang ke Sukan Olimpik,” katanya.

Daren berkata, dia mahu kembali fokus untuk kejohanan yang disertai pada masa akan datang selepas terlantar di hospital selama tiga minggu akibat demam denggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 8:45 AM