Dua lelaki yang juga pemandu bas expres dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas tuduhan membawa 3,850 karton rokok seludup  bernilai RM 61,600. FOTO Syafiq Ambak
Dua lelaki yang juga pemandu bas expres dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas tuduhan membawa 3,850 karton rokok seludup bernilai RM 61,600. FOTO Syafiq Ambak
Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membawa 3,850 karton rokok seludup bernilai RM61,600 menggunakan bas.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh, Mohammad Zurie Ismail, 44, dan Razak Arnan, 52, yang juga pemandu bas ekspres mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan mengikut Steksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dibacakan di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat bersama-sama didakwa memiliki barang larangan import iaitu 3,850 karton rokok seludup yang ditaksirkan bernilai RM61,600 dengan mengangkutnya menggunakan bas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Plaza Tol Gemuruh Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini, pada 3.20 pagi, 21 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(iii)(aa) akta sama dan dibaca mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali nilai barangan dan tidak melebihi 20 kali nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu Mohd Redzuan Hamdan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ahmad Nuri Ab Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 3:37 PM