KEDUA-DUA tertuduh dibawa ke mahkamah, semalam.
KEDUA-DUA tertuduh dibawa ke mahkamah, semalam.

Kota Bharu: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan mengangkut 3,700 karton rokok seludup bernilai RM37,000 dengan van, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Fikri Ibrahim, 28, dan Muhamad Noirman Ismail, 38, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengangkut 3,700 karton rokok seludup RM37,000 dengan sebuah van di Kampung Keting, Bachok pada jam 8.30 malam, 10 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM740,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Koh Joo Kai dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menawarkan jaminan RM20,000 terhadap setiap tertuduh.

Mereka merayu jaminan itu dikurangkan kerana terlalu tinggi.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM11,000 dengan seorang penjamin.

Mohd Firdaus menetapkan 17 September depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 9:16 AM