Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Seorang pekerja bengkel kenderaan dijatuhi hukuman penjara lapan hari dan denda RM13,080 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini terhadap pertuduhan memiliki rokok seludup pelbagai jenama.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Liew Wei Lee, 30, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki 100 karton rokok larangan import bernilai RM13,080 di dalam kereta Toyota Camry bernombor pendaftaran TAE 2238 di Jalan Belakang Istana, di sini pada 6.45 pagi, 30 September 2014.

Untuk kesalahan itu, Liew didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135 (1)(iii)(aa) Akta sama.

Mengikut akta itu, tertuduh jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM13,080 sehingga RM26,160 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Oktober 2014 @ 2:12 PM