Tertuduh Khan Mosharaf dibawa ke Mahkamah Majistret Bahau kerana memiliki rokok seludup. FOTO ABNOR HAMIZAM
Tertuduh Khan Mosharaf dibawa ke Mahkamah Majistret Bahau kerana memiliki rokok seludup. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Buruh warga Bangladesh dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Bahau hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 584 karton rokok seludup.

Majistret Muhammad Hidayat Wahab menjatuhkan hukuman itu ke atas Khan Mosharaf, 44 selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati memiliki rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM5,781 pada jam 7.30 pagi 12 April lalu bertempat di pasar sementara Felda Palong Empat, Lima dan Enam serta di sebuah rumah tidak bernombor di Felda Palong Enam.

Rokok berkenaan adalah dilarang import mengikut perintah kastam ( Larangan Mengenai Import ) 2017 dan berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(v)(aa) akta sama.

Berdasarkan fakta kes, polis sebelum itu menemui 40 karton rokok di dalam bakul motosikal dinaiki tertuduh ketika berada di pasar sementara Felda Palong Empat, Lima dan Enam.

Selepas disoal siasat, tertuduh kemudian membawa polis ke sebuah rumah tidak bernombor di Felda Palong Enam sebelum menemui ratusan karton rokok pelbagai jenama.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah juga memerintahkan pelupusan barang yang disita mengikut peruntukan barang kes mengikut Seksyen 127 Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 3:07 PM