BERGAMBAR bersama pasukan.
BERGAMBAR bersama pasukan.
Aksi Fitri ketika beraksi  di padang.
Aksi Fitri ketika beraksi di padang.

FATIN FARHANA JAPRE berpeluang menemu bual seoravng anak muda yang bergiat aktif dalam sukan ragbi bukan saja di Malaysia bahkan pernah beraksi di luar negara.

Muhammad Fitri Abdullah (Fitri), 19, mula membabitkan diri dalam sukan ragbi seawal usia 13 tahun. Terpilih dalam ujian saringan pemilihan pemain ragbi bagi mewakili sekolah membuka peluang buat Fitri untuk meneruskan impiannya menjadi pemain ragbi yang bakal mengharumkan nama negara dalam sukan ini.

Meskipun dia tahu sukan ini sukar mendapat tempat di Malaysia, anak muda ini tidak pernah berputus asa untuk terus berlatih sehinggalah dia ‘dilamar’ oleh seorang jurulatih dari Johor pada usia 17 tahun untuk menyertai pasukan Kelab Ragbi Cobra Malaysia untuk menyertai perlawanan di Bangkok, Thailand.

“Itu adalah pengalaman kali pertama saya bermain ragbi di luar negara. Ketika itu perasaan terharu dan gembira tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Tujuan mereka memilih saya menyertai pasukan mereka adalah untuk mencari pelapis dan bakat baru. Bahkan, pasukan kami juga bergelar johan dalam perlawanan itu dan meraih ‘Final Cup’,” kata anak kedua daripada empat beradik.

Ketika ditanya mengenai faktor dia dipilih sebagai pemain termuda Kelab Ragbi Cobra, Fitri berkata, ketangkasannya beraksi di padang semasa Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Negeri Sembilan menambat hati jurulatih luar untuk menjadikannya ahli pasukan mereka. Selain itu, minatnya yang mendalam dalam sukan ini diwarisi daripada ayahnya yang juga bekas pemain ragbi Selangor suatu masa dulu.

Berikutan itu, dia dianugerahi sijil anugerah kokurikulum dari Sekolah Menengah Teknik Bukit Katil, Melaka atas pencapaiannya bermain ragbi di Bangkok, Thailand selain mengharumkan nama sekolah berkenaan.

Selepas tamat tingkatan lima, ada juga jurulatih luar yang memintanya bermain untuk pasukan mereka sementara dia menanti tawaran menyambung pengajian.

“Siapa sangka, saya ditawarkan menyambung pengajian di Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail, Kota Tinggi, Johor dalam aliran sastera. Peluang memasuki sekolah sukan menjadi impian saya sejak dari tingkatan satu namun baru sekarang berpeluang.

“Kini, saya sudah memasuki tahun kedua dan bakal menamatkan pengajian pada bulan empat tahun hadapan.

“Di sini, saya masih bergiat aktif dalam sukan ragbi, namun saya bermula kembali dari bawah dan menjadi pemain biasa. Usaha saya tidak terhenti di situ bahkan saya terus bangkit selama setahun sehingga saya dipilih dari ujian saringan untuk mewakili Malaysia untuk perlawanan ragbi di Filipina bagi kategori bawah 19 tahun. Namun pasukan kami berjaya menang tempat ketiga di sana,” katanya.

Menurut Fitri, dia memberikan komitmen yang sangat tinggi terhadap sukan ini. Ini kerana setiap masa terluangnya akan dihabiskan dengan menjalani latihan di padang dan pasukan Kelab Ragbi Cobra Malaysia di Kuala Lumpur.

Masanya untuk bersosial bersama rakan juga terpaksa dikorbankan, tetapi waktu belajar tetap diutamakan.

Ketika ditanya mengenai soal pemakanan pula, Fitri berkata bagi pemain ragbi tidak perlu menjaga pemakanan seperti pemain bola sepak yang mementingkan fizikal, tetapi bergantung kepada individu.

“Macam saya akan makan apa saja cuma jika ada perlawanan besar barulah saya akan menjaga pemakanan seperti kurangkan makanan berminyak dan sejuk.

“Di sekolah juga, setiap tiga kali seminggu kami akan pergi ke gimnasium untuk meningkatkan stamina. Boleh dikatakan di sini kami dijaga dari semua segi,” katanya.

Selain itu, Ogos lalu, Fitri baru saja beraksi di Hong Kong mewakili Malaysia untuk kategori bawah 20 tahun dan pasukannya menang tempat kedua. Fitri berkata, disiplin dan komitmen yang tinggi amat penting untuk menang dalam perlawanan ragbi.

“Sekarang ini saya bermain untuk pasukan ‘junior’ pada bahagian ‘backline’ dan perlu berusaha lagi sehingga menjadi seorang pemain pasukan ‘senior’.

“Saya mahu berusaha lebih lagi supaya saya akan bergelar pemain ragbi profesional seperti idola saya iaitu Saizul Hafifi. Tidak lupa juga keluarga saya yang sentiasa menjadi tulang belakang untuk saya terus melangkah ke hadapan dalam sukan ini.

“Saya juga berharap Kementerian Belia dan Sukan akan mengangkat sukan ini sama seperti sukan lain kerana sudah mula menonjol di Malaysia. Saya nampak sukan ini berpotensi menaikkan nama negara pada masa akan datang,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi pegawai polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 5:01 AM