Meor Riduwan Meor Ahmad


HOBI membaca buku mungkin klise, namun bagi pemain ragbi wanita 7 sebelah negara, Siti Fatimah Mohamed Abdullah Inamulla, 20, ia menjadi terapi untuk menenangkan dirinya.

Sejak kecil, gadis berdarah campuran India-Malaysia ini memupuk minat membaca dengan membelanjakan duit saku diberi keluarga untuk membeli pelbagai genre buku.

“Bila ayah atau emak bagi duit saya akan kumpul dan benda pertama dibeli adalah buku. Saya suka baca novel fiksyen dan bukan fiksyen serta amat meminati sastera seperti puisi dan sajak. Jika tidak bermain ragbi, bukulah jadi peneman.

“Sesetengah orang mungkin pilih berehat di pantai dan sebagainya, tapi bagi saya cukup dengan membaca buku untuk tenangkan diri,” katanya ditemui di padang Kelab Cobra, Petaling Jaya.

Anak kepada pasangan Mohamed Abdulla Inamulla dan Barishah Saad ini berkata, lebih 50 genre buku kini ada dalam simpanannya di rumah keluarga di Brunei.

Katanya, dia dilahirkan di Jitra, Kedah tetapi dibesarkan di Brunei memandangkan bapanya bekerja di sana.

Menurutnya, selain mengisi masa lapang, membaca novel menjadi terapi ketika dia menghadapi sesuatu kejohanan ragbi.

“Sebelum perlawanan atau ketika rehat separuh masa memang saya akan baca novel. Kadang-kadang ada rakan bertanya kerana berasa pelik melihat saya boleh baca dalam keadaan begitu,” katanya yang meminati penyajak, novelis dan penulis cerita pendek, Charles Bukowski.

Aktif dalam sukan bola jaring ketika di Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hasanal Bolkiah, Brunei, minat anak bongsu daripada tiga beradik ini mula beralih kepada ragbi apabila berjinak-jinak dengan ragbi sentuh di Kolej Sunway.

Katanya, jurulatih di kolej menyarankan dia menyertai pemilihan skuad Selangor untuk Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2016 selepas melihat potensinya bermain sukan ragbi sentuh.

“Saya terpilih mewakili Selangor dan selepas SUKMA saya terpilih pula bersama skuad ragbi wanita tujuh sebelah kebangsaan.

“Berbanding sukan lain, tidak ramai wanita minat ragbi kerana ia dianggap ganas dan kasar. Konsep itu salah kerana ragbi sukan unik dan tidak menghilangkan ciri kewanitaan,” katanya.

Aksi lincahnya di padang sentiasa mencuri tumpuan dengan susuk tubuh tinggi serta wajah cantik dihiasi rambut berdandan lipan.

Katanya, dia bertuah apabila minat terhadap ragbi direstui keluarga terutama ibunya yang menjadi penyokong nombor satu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 7:00 AM
FATIMAH suka membaca novel fiksyen dan bukan fiksyen serta  meminati sastera seperti puisi dan sajak.
FATIMAH suka membaca novel fiksyen dan bukan fiksyen serta meminati sastera seperti puisi dan sajak.