BARISAN pemain ragbi yang akan beraksi di Bangkok.
BARISAN pemain ragbi yang akan beraksi di Bangkok.
Affan Rostam


Petaling Jaya: 12 pemain ragbi tujuh sebelah (7s) wanita negara bersiap sedia bersaing dalam perlawanan Siri 1 Kejohanan Asia Rugby Sevens Series 2022 yang dijadual berlangsung pada 22 dan 23 Oktober ini di Stadium Boonyachinda, Bangkok, Thailand.

Pengumuman itu dibuat Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) pada Majlis Penyerahan Bendera yang berlangsung di Kompleks Sukan IJM – Cobra, Petaling Jaya, semalam.

Barisan pemain yang terpilih adalah Rozliana Mohd Ridwan, Norfarahana Aziz,Juanna Sari Petrus, Chrestiyanti Paunil, Jannie Peter, Kajolin Jenisin, Valerie Juan, Dinah Syafiqah Sadali, Afiayah Fauzi, Nur Syazwan Md Fauzi, Josie Mavcellina Gonedan Shania Suinani Baduk.

Daripada senarai 12 pemain diumumkan, jurulatih negara, Muhammad Siddiq Amir Jalil berkata, dia mengekalkan tiga pemain berpengalaman iaitu Rozliana, Norfarahana dan Shania.

Selain itu, sembilan lagi pemain yang dipilih adalah menerusi kejohanan baru-baru ini iaitu Kejohanan Ragbi Harps Women's, Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan dan Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Kejohanan ragbi peringkat tertinggi Asia itu membabitkan enam lagi negara iaitu Jepun, Kazakhstan, Thailand, Filipina, China dan Hong Kong.

Bagi siri pertama kejohanan ini, pasukan ragbi wanita 7s negara diletakkan dalam kumpulan B bersama China dan Hong Kong berdasarkan kedudukan pada kejohanan edisi tahun lalu di Dubai.

Siri 2 kejohanan pula akan diadakan pada 12 dan 13 November depan di Incheon, Korea kemudian diikuti siri terakhir di Al Ain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 26 dan 27 November.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 6:10 PM