ANTARA aksi menarik disaksikan menerusi acara ‘reunion’ terbabit.
ANTARA aksi menarik disaksikan menerusi acara ‘reunion’ terbabit.
MASIH berbisa meskipun sudah lama tidak bermain.
MASIH berbisa meskipun sudah lama tidak bermain.
MASIH tangkas dalam merebut bola.
MASIH tangkas dalam merebut bola.
JULANGAN tinggi untuk merebut bola.
JULANGAN tinggi untuk merebut bola.
Oleh Nur Adibah Ahmad Izam

Sukan ragbi di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Tawar, Kota Tinggi (SMAT) bukan sesuatu yang asing. Ini terbukti apabila SMAT Rugby Union mengadakan perjumpaan semula tanpa diduga berjaya menarik minat 150 bekas pelajar SMAT yang pernah menceburi sukan berkenaan sekitar 1994 hingga 2013.

Sesi perjumpaan semula yang julung kali diadakan di padang sekolah itu menyaksikan perlawanan lima penjuru membabitkan SMAT Loaders Senior, SMAT Loaders Junior, Lion Senior, Lion Junior dan SMAT Smut dalam permainan 15 sebelah dalam masa 45 minit.

Menurut Pengerusi Alumni SMAT Rugby Union, Mohd Redzuan Abd Bakir, 29, rancangan asal pihaknya mengadakan perjumpaan semula seperti dilakukan alumni lain. Namun sebaik ramai menyuarakan pendapat dan sebahagian ahli alumni menyatakan perasaan rindu beraksi di padang, tercetuslah idea terbabit.

Apatah lagi selepas lebih 11 tahun tidak beraksi, legasi SMAT Rugby Union mahu ia terus dikenang menerusi penganjuran perlawanan persahabatan itu.

“Melihat terlalu banyak peringkat umur yang berminat, saya mencari wakil setiap generasi pemain untuk mengumpulkan semula mereka.

“Jika berpeluang kami mahu menubuhkan Kelab Ragbi Kota Tinggi kerana sebahagian daripada bekas pelajar kami masih aktif bermain untuk kelab di Johor, antaranya Beringin Rendang Rugby Club dan Blackhawks. Malah ada antara kami mewakili Malaysia, baru-baru ini,” katanya.

Muhammad Yazid Md Yusop, 26, mengakui aktif bermain ragbi untuk pasukan Polis tetapi berhenti bermain pada 2011.

“Apabila mendengar ada perjumpaan semula ragbi untuk SMAT, saya sangat teruja. Bagi saya, jika setiap tahun diadakan aktiviti seperti ini, ia memang bagus. Selain bentuk aktiviti sihat dan berfaedah, saya dapat berjumpa rakan lama,” katanya.

Mohd Izwan Abu Bakar, 25, yang beraksi pada Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, tahun lalu menerusi sukan ragbi pula berkata, pertemuan semula ini patut diadakan setiap tahun kerana mereka boleh berkongsi kemahiran daripada bekas pemain SMAT.

“Kami boleh menceritakan pengalaman masing-masing. Walaupun sukan ragbi baru meningkat penyertaannya di Malaysia, kami berbangga kerana pelajar SMAT banyak mengharumkan nama SMAT menerusi sukan ragbi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fauzan Suparman, 27, berkata, suasana perjumpaan semula ini membang­kitkan nostalgia Pasukan Rugby SMAT satu ketika dulu menerusi pertemuan rakan lama.

“Ada antara mereka yang hadir bersama anak dan isteri. Ini aktiviti sihat dan patut diteruskan,” katanya.

Perlawanan bermula jam 9 pagi itu berakhir 5.30 petang, dan tuah menyebelahi Kumpulan SMAT Loaders Senior muncul juara, sekali gus membawa pulang piala pusingan SMAT Rugby Union yang disampaikan Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Johor, Norazam Osman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:10 AM