AFP

Valencia: Juara MotoGP dunia Marc Marquez melakar rekod kemenangan ke-13 musim ini di Grand Prix Valencia selepas mengatasi Valentino Rossi serta rakan sepasukannya Dani Pedrosa malam tadi.

Kejayaan Marquez itu membolehkannya mengatasi rekod dipegang pelumba Australia Mick Doohan yang mencatat 12 kemenangan dalam 17 aksi di pada 1997.

Kemenangan buat pelumba berusia 21 tahun itu pada aksi penutup musim turut menyaksikan dia dan Pedrosa menghadirkan kejayaan berganda buat Honda bagi kategori pengeluar.

Rossi muncul naib juara sekali gus membolehkannya menamatkan musim di tangga kedua keseluruhan dalam kedudukan pelumba manakala rakan sepasukannya di Yamaha, Jorge Lorenzo berada di kedudukan ketiga.

Malam tadi menjadi aksi istimewa buat keluarga Marquez apabila adiknya, Alex Marquez muncul juara dunia dalam kategori Moto3.

“Saya sangat gembira. Sepanjang perlumbaan, saya memikirkan mengenai adik dan saya mahu melakukan yang terbaik,” kata Marquez.

Marquez memulakan perlumbaan di petak kelima selepas terbabit kemalangan ketika sesi kelayakan kelmarin tetapi pantas berada di kedudukan ketiga di belakang Rossi dan Andrea Iannone.

Dia kemudian memintas Rossi pada pusingan ke-10 sebelum mengatasi Iannone pada pusingan berikutnya.

“Ketika hujan, saya tidak tahu apa yang harus dilakukan. Saya cuma menumpukan perhatian terhadap perlumbaan. Saya tidak mempunyai apa-apa untuk dipertaruhkan dan saya menikmati setiap selekoh di depan.”

Menduduki tempat kedua keseluruhan adalah slot terbaik Rossi sejak dia memenangi tujuh kejuaraan dunia pada 2009 tetapi pelumba berusia 35 tahun itu mengaku sukar baginya untuk mengatasi Marquez yang jauh lebih muda.

“Dengan adanya Marquez, perlumbaan pasti lebih sukar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:07 AM