AIDIL (kiri) tak mahu sia-siakan peluang selepas mara ke final Piala AFC.
AIDIL (kiri) tak mahu sia-siakan peluang selepas mara ke final Piala AFC.

Kuala Lumpur: “Alang-alang sudah sampai ke final, kita boleh cipta satu lagi sejarah dengan menjadi juara,” kata pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak yang begitu bersemangat selepas mendapat tahu pasukannya layak ke perlawanan akhir Piala AFC menentang kelab Tajikistan, FC Istiklol di Dushanbe pada 31 Oktober ini.

Kejayaan itu hadir selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membatalkan aksi separuh akhir kedua Piala AFC berdepan Qadsia SC di Larkin Selasa ini susulan keputusan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menggantung badan induk kelab itu, Persatuan Bolasepak Kuwait (KFA) berkuat kuasa serta merta semalam.

Ibarat tuah datang bergolek buat skuad Harimau Selatan itu yang tidak perlu bersusah payah untuk mengatasi defisit 1-3 selepas tumpas kepada Qadsia SC pada pertembungan pertama sekali gus muncul pasukan tempatan pertama layak ke final Piala AFC.

Sebelum ini skuad Harimau Selatan kendalian Mario Gomez itu melakar sejarah menjadi wakil pertama negara menempah tiket ke separuh akhir selepas menyingkirkan kelab Hong Kong, South China dengan agregat 4-2 di suku akhir.

“Walaupun kami mendapat kemenangan percuma namun ia bukan mudah kerana kami perlu bersaing hebat untuk sampai ke separuh akhir kejohanan ini.

“Bagi saya ini satu bonus buat pasukan kerana sasaran awal kami untuk pergi sejauh yang boleh. Jadi kami tidak boleh sia-siakan peluang ini kerana peluang semakin terbuka buat kami,” kata Aidil.

Pemain kebangsaan berusia 28 tahun itu bagaimanapun mengakui kelebihan memihak kepada FC Istiklol di pentas final kerana beraksi di gelanggang sendiri.

“Saya fikir kelebihan menjadi milik kepada pasukan lawan kerana mereka bermain di tempat sendiri namun harus diingat setiap perlawanan berbeza. Johor DT tidak tertekan dan jika kami memberikan aksi terbaik, tidak mustahil untuk kami menang di final itu nanti,” kata Aidil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 7:33 AM