AIDIL (tengah) yakin Johor DT mampu benam Bengaluru FC.
AIDIL (tengah) yakin Johor DT mampu benam Bengaluru FC.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Tonggak pertahanan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) Aidil Zafuan Abd Radzak menyifatkan pertembungan menentang JSW Bengaluru pada separuh akhir pertama di Stadium Larkin, Rabu depan bukan sesuatu yang mudah buat pasukannya.

Malah katanya, aksi separuh akhir pasti menjanjikan saingan lebih sengit dan kelab dari India itu tentunya tampil dengan corak permainan berbeza apatah lagi mereka kini dibimbing jurulatih baharu dari Sepanyol Albert Roca yang pernah menjadi pembantu Frank Rijkaard ketika membimbing kelab La Liga Barcelona.

“Jadi sudah tentu corak permainan akan lebih berbeza berbanding saingan peringkat kumpulan.

“Malah separuh akhir nanti juga menjanjikan kelainan kerana rekod lalu ketika kami menewaskan Bengaluru FC pada saingan peringkat kumpulan tidak boleh dijadikan ukuran.

“Apapun, kami akan membuat persediaan yang lebih rapi di bawah seliaan Mario Gomez dan kami mungkin beraksi dengan taktikal berbeza bagi memburu kemenangan di laman sendiri,” katanya.

Pada aksi suku akhir kedua, Bengaluru FC sekadar mencatat keputusan seri 0-0 dengan Tampines Rovers pada pertembungan di Stadium Jalan Besar kelmarin namun layak ke separuh akhir dengan agregat 1-0 selepas meraih kemenangan pada suku akhir pertama di India.

Aidil Zafuan juga berharap kemenangan akan memihak Johor DT pada aksi di Larkin kerana penting bagi bekalan selesa apabila bertandang ke India pada 19 Oktober nanti.

“Selepas melangkah ke separuh akhir dua musim berturut-turut, sudah menjadi harapan kami untuk ke final namun kami tidak boleh terlalu teruja sebaliknya harus lebih berwaspada dan beraksi mengikut perancangan jurulatih,” kata Aidil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 11:26 AM