Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Luciano Figueroa (gambar) cukup teruja selepas mendapat ‘lampu hijau’ untuk beraksi pada final Piala AFC menentang FC Istiklol di Stadium Central Republican, Dushanbe, Tajikistan, pada 31 Oktober ini.

Ini berikutan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menerusi kenyataan dikeluarkan kelmarin, mengesahkan Figueroa bebas daripada penggantungan dan layak beraksi pada pentas final itu.

Figueroa yang sinonim dengan panggilan ‘Lucho’ berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang beraksi bagi memburu kejuaraan yang dianggap amat berprestij pada saingan peringkat kelab Asia.

“Sudah tentu berita itu menggembirakan selepas saya tidak pasti boleh beraksi. Keputusan ini bukan saja penting buat diri saya, malah Johor DT.

“Kini saya boleh memberi sepenuh tumpuan terhadap sesi latihan bagi membuat persiapan untuk berdepan kelab dari Tajikistan itu. Saya sifatkan perlawanan itu amat dinanti-nantikan kerana Johor DT dan FC Istiklol belum pernah menjulang kejuaraan Piala AFC.

“Saya optimis kami akan melakar kejutan walaupun di atas kertas, kelebihan memihak lawan kerana beraksi di laman sendiri,” katanya.

Figueroa terlepas peluang untuk beraksi pada separuh akhir pertama ketika menentang Al-Qadsia SC dari Kuwait selepas digantung dua perlawanan automatik akibat dilayang kad merah kerana mengasari pemain South China SC pada aksi suku akhir kedua di Stadium Mong Kok di Hong Kong, 15 September lalu.

Tanpa kelibat ayam tambatan Harimau Selatan itu, skuad kendalian Mario Gomez tewas 1-3 kepada Al-Qadsia SC pada aksi separuh akhir pertama namun keputusan AFC yang mengikut ketetapan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menggantung keahlian Persatuan Bolasepak Kuwait (Kuwait FA) menyebabkan penyertaan Al-Qadsia SC dibatalkan dan Johor DT layak beraksi pada final Piala AFC.

“Kita ada dua misi minggu ini. Berdepan Sarawak pada saingan Kumpulan B Piala Malaysia Sabtu ini juga penting kerana jika menang, kami layak ke suku akhir.

“Sebaik pulang dari Kuching, Sarawak, Ahad nanti, kami akan kembali fokus pada aksi final. Apa yang saya harapkan rakan sepasukan tidak mengalami kecederaan kerana kami ada tugas untuk menjulang Johor DT ke tahap lebih tinggi,” kata Figueroa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 8:52 AM