Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) mara ke final Piala AFC bertemu FC Istiklol selepas kelab dari Kuwait, Qadsia SC tidak layak beraksi di separuh akhir kedua.

Keputusan itu diambil susulan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menggantung Persatuan Bolasepak Kuwait (KFA) berkuat kuasa serta merta hari ini sekali gus menyaksikan semua pasukan dari negara itu termasuk Qadsia SC tidak dibenarkan bermain di kejohanan antarabangsa.

Jawatankuasa Pertandingan AFC yang bermesyuarat petang tadi membuat keputusan membatalkan perlawanan separuh akhir kedua antara Johor DT dan Qadsia SC pada Selasa depan di Larkin.

Pembatalan itu memberi tuah kepada skuad Harimau Selatan yang tidak perlu bermandi peluh untuk mara ke final selepas tewas pada separuh akhir pertama 1-3 di Kuwait.

Kejayaan melangkah ke final Piala AFC melakar sejarah baru buat bola sepak tanah air dan Johor DT berpeluang untuk merangkul kejuaraan antarabangsa pertama jika mengalahkan kelab Tajikistan FC Istiklol di Dushanbe, Tajikistan pada 31 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 3:00 PM