AIDIL (tengah) ketika sesi pemanas badan di hotel kediaman.
AIDIL (tengah) ketika sesi pemanas badan di hotel kediaman.

Amman, Jordan: Tonggak pertahanan tengah negara Aidil Zafuan Radzak yakin kekalahan teruk 0-6 kepada Palestin Jun lalu di Stadium Nasional, Bukit Jalil tidak akan berulang apabila mereka membuat perhitungan sekali lagi pada kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Antarabangsa Amman, Khamis ini.

Bintang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu berkata, mereka akan lebih berwaspada kali ini dan tidak rela terus diaibkan oleh pasukan dari negara bergolak itu.

“Kami kalah 0-6 di gelanggang sendiri dan kali ini misi kami lebih sukar apabila bermain di tempat lawan. Tapi setiap perlawanan berbeza dan kami perlu melakukan sebaik mungkin.

“Memang sekurang-kurangnya kami boleh mendapat satu mata di sini tapi saya lebih fokus kepada kemenangan dengan Palestin. Bagi memastikan kejayaan bukan saja tugas pertahanan untuk mengekang serangan Palestin tapi semua 11 pemain harus bekerja keras,” katanya ketika ditemui Arena Metro selepas tamat sesi latihan di padang Kompleks Sukan Amman semalam.

Bagaimanapun skuad Harimau Malaya kini tampil berbeza berbanding ketika Datuk Ong Kim Swee mengambil alih tugas sementara sebaik Dollah Salleh meletakkan jawatan 4 September lalu manakala beberapa pemain baru kembali mendapat tempat termasuk Aidil.

Pertemuan kali ini bukan saja medan buat Harimau Malaya menebus kekecewaan sebaliknya peluang terbaik mereka untuk memintas Palestin di tangga ketiga dalam saingan Kumpulan A sekali gus mengukuhkan kedudukan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019.

Aidil, 28, pasti menjadi sandaran Kim Swee kali ini untuk bergandingan bersama Razman Roslan selepas gandingan itu di pertahanan tengah menjadi ketika mengalahkan Timor Leste di Dili bulan lalu.

Malah pengalaman pemain itu yang membantu Johor DT merangkul kejuaraan Piala AFC menewaskan kelab Tajikistan FC Istiklol turut diharap dapat membantu pasukan menentang Palestin.

“Bagi saya kejayaan Piala AFC satu bonus untuk saya dan beberapa lagi pemain Johor DT yang kini bersama skuad kebangsaan.

“Ia sedikit sebanyak membantu skuad kebangsaan dari segi keyakinan bahawa kami boleh mengatasi atau memberi tentangan hebat kepada mana-mana pasukan jika memberikan komitmen dan aksi terbaik,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 6:24 AM