PASUKAN Protellus A menjuarai kategori gross.
PASUKAN Protellus A menjuarai kategori gross.
Oleh Zaini Salihin

Kuala Lumpur: Pasukan Protellus A dari Malaysia muncul juara kategori gross pusingan kelayakan kelima dan terakhir Kejohanan Tahunan Golf Berpasukan Dunia (WAITGC) di Kelab Golf Kota Tiara dan Kelab Golf A Famosa, Melaka baru-baru ini.

Protellus A yang membariskan bekas penjaga gol kebangsaan dan Kedah, Mohd Azmi Mahmud dengan handikap 3, Wan Shariman Abd Rashid (4), Nassarudin Basir (4) dan Nordin Yahya (2) mengumpul 911 pukulan keseluruhan.

Tempat kedua dan ketiga milik Protellus B yang diwakili Sazali Hasan (7), Mohd Shahidi Yahya (5), Mohd Firdaus Sabri (2) dan Abu Salah Kechil (3) dengan 916 pukulan.

Maybank menghantar Zul
kefli Mohd Yusof (12), Mohd Yazid Imran (14), Kamal Izat Othman (11) dan Mohd Salimy Idris (18) ketiga dengan jumlah 1,026 pukulan.

Satu-satunya pasukan tunggal dari Jepun, Sakura Boys yang membariskan Dr Niwa Shu Ichi (1), Ikeda Kazuo (1), Yamazaki Tomoyuki (9) dan Matsuyama Yasuaki (12) muncul juara kategori stableford dengan 471 mata.

Pasukan Panamerah dari Brunei yang diwakili Ali Husaini Mohd Diah (14), Ahanapiah Md Noor (14), Isam Abd Kadir (16) dan Zainal Zulkifli (18) kedua dengan mengumpul 440 mata.

Sementara itu Mohd Firdaus Sabri daripada pasukan Protellus B muncul pemain terbaik kategori gross menerusi 301 pukulan manakala Zulkifli Mohd Yusuf (Maybank) menjadi pemain terbaik kategori stableford dengan 160 mata.

Kejohanan empat hari itu yang diadakan di dua kelab golf terkenal di Melaka menawarkan lima slot terakhir ke pusingan akhir Grand Final di The Mines dan Sg Long GCC pada 17-19 November.

Sebanyak 20 pasukan dari Brunei, Indonesia, Korea, Singapura, Jepun dan Malaysia mengambil bahagian. Australia yang sinonim dengan kejohanan WAITGC bagaimanapun tidak menghantar pasukan kerana jerebu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 8:18 AM