ABEGAIL ungguli perempuan B-18.
ABEGAIL ungguli perempuan B-18.

Kuala Lumpur: Filipina dan Indonesia memulakan aksi Kejohanan Golf Terbuka Junior Amatur RSGC AmBank 2015 dengan bergaya apabila mendominasi tiga daripada empat kategori dipertandingkan di kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) semalam.

Dalam kategori Lelaki B-18, Kevin Akbar dari Indonesia mencatat 72 pukulan untuk mengumpul kelebihan dua pukulan berbanding Kim Tae Woo dari Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) yang mencatat 74 pukulan diikuti pemain junior kebangsaan, V Khavish Varman yang melakar 75 pukulan.

“Secara keseluruhan saya bermain baik cuma pada permulaan permainan, pukulan tidak begitu menjadi. Tahun ini, keadaan lapangan agak baik dan saya harap dapat bermain lebih baik esok (hari ini).

“Yang penting, saya perlu menikmati permainan ini dan saya yakin keputusan diinginkan pasti tiba,” kata Khavish.

Juara bertahan serta pemenang emas Sukan SEA, Puteri Superal dari Filipina bermula agak perlahan dalam kategori Perempuan B-18 apabila sekadar mencatat 73 pukulan untuk berada di tangga ketiga dan dua pukulan di belakang pendahulu yang juga rakan senegara, Abegail Arevalo.

Pemain junior kebangsaan, Loy Hee Ying berada di tempat kedua dengan 72 pukulan.

Juara bertahan kategori Perempuan B-15, Sofia Chabon dari Filipina mencatat satu di bawah par 71 diikuti Rivani Adelia dari Indonesia yang melakar 74 pukulan manakala Geraldine Wong dari Kelab Golf dan Country Bukit Jalil (BJGC) mengumpul 75 pukulan.

Adam Madzri dari KGPA memastikan satu kategori dikuasai Malaysia apabila mencatat 72 pukulan bagi kategori Lelaki B-15 manakala pemain dari Starhill Golf Resort Johor (SGRJ) Irfan Norshah dan Lee Chong Li dari Kelab Golf dan Country Johor (JGCC) ketinggalan tiga dan lima pukulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 9:02 AM